Gambar hiasan

KOTA KINABALU – Polis hari ini menahan seorang lelaki berusia 45 tahun atas dakwaan menggunakan media sosial bagi membuat kenyataan berbaur hasutan terhadap Yang Dipertua Negeri (TYT) dan Ketua Menteri Sabah.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun berkata lelaki berkenaan ditahan 2.45 petang di Papar susulan laporan polis yang diterima pada 7 Sept berhubung hantaran dalam aplikasi TikTok yang berunsur hasutan.

“Turut dirampas daripada suspek sebuah telefon bimbit. Hasil semakan awal ke atas gajet itu mendapati suspek adalah pengendali akaun aplikasi TikTok yang didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan terhadap Yang Dipertua Negeri dan Ketua Menteri Sabah.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah di sini hari ini.

Beliau berkata semakan lanjut mendapati suspek mempunyai dua rekod lampau berkaitan kesalahan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian (media sosial).

Sementara itu, Jauteh berkata lelaki yang ditahan kerana disyaki mengugut pakar patalogi yang terlibat dalam inkues Zara Qairina Mahathir direman empat hari sehingga 11 Sept.

Lelaki berusia 61 tahun itu ditahan pada 7 Sept susulan laporan mengenai kenyataan di laman Facebook yang mengandungi unsur jenayah terhadap Pakar Patalogi Jabatan Forensik, Hospital Queen Elizabeth Dr Jessie Hiu.

— BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast