KUALA LUMPUR – Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP, Sheikh Umar Bagharib Ali menyifatkan bukan sesuatu yang aneh apabila wujud surat layang yang mahukan Presiden Parti Pribumi Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan.
Menurut Naib Pengerusi DAP Johor berkenaan, dakwaan Muhyiddin yang mana wujud gerakan mengutip tanda tangan untuk mendesak beliau turun daripada mengemudi Bersatu juga bukan sesuatu yang pelik.
Jelasnya, bukan sesuatu yang menghairankan juga apabila seolah-olah ada komplot digerakkan bagi menjatuhkan Muhyiddin dalam Bersatu serta dakwaan 120 Ketua Bahagian parti itu mengemukakan akaun bersumpah (SD) supaya beliau berundur.
“Muhyiddin hanya perlu duduk sejenak, mengimbau dan muhasabah diri; bagaimana Langkah Sheraton yang beliau turut sama gerakkan sehingga berlaku rampasan kuasa pada Mac 2020.
“Sedangkan beliau sendiri sebahagian dari kerajaan yang dibentuk pada 2018 itu.
“Ibarat waktu itu, beliau ‘menikam’ rakan sendiri yang sama-sama berjuang pada PRU 2018.
“Jika beliau sanggup lakukan itu, mana mungkin beliau berasa selamat dari ‘pisau’ tersembunyi belakang tangan rakan-rakan Bersatu pula?” katanya menerusi laman sosial Facebook belliau hari ini.
Apatah lagi, tambah Sheikh Umar, rakan-rakan Muhyiddin juga mempunyai rekod membawa lari sokongan ahli Parlimen sehingga sanggup mengkhianati parti, justeru tindakan memangkas presiden sendiri bukanlah perkara besar.
“Setiap tindakan kita akan dibalas. Jika bukan hari ini, mungkin esok mungkin lusa. Jika bukan sekarang, lambat laun akan sampai masanya. Buat baik dibalas baik, buat jahat dibalas jahat.
“Setengah orang menyebut ini sebagai karma,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan kira-kira 120 Ketua Bahagian Bersatu telah menandatangani SD menggesa Muhyiddin berundur dan menyerahkan kepimpinan kepada Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Malah, dalam ucapan dasarnnya pada Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu 2025 Sabtu lalu, Muhyiddin turut menyentuh mengenai kewujudan usaha mengutip tanda tangan itu untuk menjatuhkan beliau sebagai Presiden.
Ucapannya itu kemudiannya mencetuskan kepada situasi kekecohan dan ketegangan pada PAT Bersatu 2025 berkenaan sehingga dilaporkan secara meluas oleh media, selain laporan polis turut dibuat susulan kejadian itu. – MalaysiaGazette
















