PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang mendapatkan maklumat daripada pihak berkuasa di United Kingdom (UK) tentang aset milik Tun Dr Mahathir Mohamad.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki yang mengesahkan perkara itu berkata, ketika ini pihaknya masih menjalankan siasatan berhubung aset milik bekas bekas perdana menteri itu.
“Siasatan terhadap Tun M masih lagi berjalan dan kami sedang mendapatkan maklumat yang terperinci daripada pihak luar, terutamanya pihak berkuasa UK berhubung aset yang dimilikinya.
“Sekiranya maklumat berkenaan diperoleh, kita akan maklumkan kemudian,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat SPRM di sini hari ini.
Sebelum ini media melaporkan, dua anak bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memiliki harta bernilai lebih RM1.2 bilion membabitkan pegangan aset dan saham.
Azam dilaporkan berkata, berdasarkan pengisytiharan harta yang dikemukakan kepadanya, Tan Sri Mokhzani Mahathir memiliki aset bernilai kira-kira RM1 bilion manakala Mirzan Mahathir sebanyak RM246.2 juta.
Tambah Azam, melalui pengisytiharan harta itu, jumlah aset keseluruhan Mokhzani bernilai kira-kira RM1 bilion dengan ‘personal value’ (aset peribadi) sebanyak RM360 juta.
Mirzan pula jumlah asetnya adalah sebanyak RM246.2 juta dengan ‘personal value’ sebanyak RM120 juta.
Azam menegaskan semua data berkenaan adalah daripada pegawai forensik SPRM serta beberapa penilaian terhadap jumlah aset yang diisytiharkan oleh mereka. – MalaysiaGazette
















