LONDON – Khabar angin Barcelona bakal menamatkan tempoh pinjaman Marcus Rashford lebih awal dan menghantarnya pulang ke Manchester United disifatkan sebagai tidak benar sama sekali.
Pakar perpindahan pemain, Fabrizio Romano menegaskan spekulasi itu adalah ‘sampah’ sambil menyuarakan rasa terkejut dengan dakwaan Rashford mungkin kembali ke Old Trafford lebih awal daripada dijadualkan.
“Banyak soalan yang saya terima dan saya sendiri tidak pasti dari mana cerita ini timbul. Ramai yang bertanya kepada saya, adakah benar Barcelona sedang mempertimbangkan untuk menamatkan kontrak pinjaman Rashford lebih awal?
“Sejujurnya saya tidak tahu dari mana khabar angin ini datang. Bagi saya, agak mengecewakan apabila melihat laporan sebegini kerana ia sama sekali tidak benar,” tulis di media sosialnya mengenai khabar angin Barcelona mahu menamatkan lebih awal pinjaman Rashford.
Romano menegaskan, Barcelona sangat berpuas hati dengan Rashford dan mematuhi perjanjian yang telah dibuat.
Penyerang England itu baru sahaja menyertai skuad Catalan pada musim panas lalu melalui perjanjian pinjaman semusim yang mana turut disertakan dengan klausa pembelian bernilai €35 juta.
Setakat ini, Rashford memulakan kariernya di kancah La Liga dengan agak perlahan malah satu-satunya penampilan sebagai kesebelasan utama menyaksikan dia digantikan pada separuh masa pertama.
Namun begitu, Barcelona tidak berhasrat untuk mengetepikan pemain berusia 27 tahun itu, sebaliknya tetap memberi ruang dan mereka yakin Rashford mampu kembali menyerlah sepanjang musim ini. – Agensi
















