KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memandang serius sebarang isu berkaitan integriti, ketelusan dan tadbir urus dalam sistem pentadbirannya.
DBKL dalam kenyataan memberitahu, pihaknya mengambil maklum kenyataan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berhubung siasatan yang sedang dijalankan ke atas seorang pegawai kanan agensi itu.
“Bagi memastikan kelancaran urusan harian pentadbiran, penempatan dan tugasan pegawai yang terlibat telah diselaraskan sementara siasatan dijalankan,” katanya.
DBKL turut menzahirkan komitmen untuk memastikan setiap urusan pentadbiran dijalankan secara telus, berakauntabiliti dan berintegriti selaras dengan nilai-nilai perkhidmatan awam yang berteraskan amanah rakyat.
Siasatan SPRM dilihat sebagai sebahagian daripada usaha berterusan agensi penguat kuasa itu dalam memerangi rasuah dan salah guna kuasa dalam sektor awam.
Semalam media melaporkan, Azam dipetik berkata, lebih RM17.58 juta aset dibekukan SPRM susulan penahanan empat individu termasuk pegawai kanan gred Jusa B, DBKL baru-baru ini.
Katanya, pembekuan itu membabitkan 11 akaun peribadi, 23 akaun syarikat dan tiga akaun saham bagi siasatan rasuah berkaitan perolehan projek teknologi maklumat (IT).
Turut disita wang tunai berjumlah RM1,159,160 dan 12,300 Euro, 9,920 pound sterlling dan 24,280 Singapore Dolar, lapan telefon bimbit.
Dua kereta mewah berjumlah RM650,000 termasuk koleksi beg tangan dan kasut berjenama dianggarkan bernilai RM100,000 juga dirampas.
Sebelum ini, tiga individu termasuk seorang pegawai kanan DBKL yang ditahan kerana terbabit dalam kegiatan rasuah dipercayai sejak 11 tahun lalu direman empat hari sejak 26 Ogos lalu.
Azam dilaporkan berkata, turut ditahan seorang pemilik syarikat dan seorang orang awam kerana disyaki terlibat dalam rasuah sejak 2014. – MalaysiaGazette
















