PUTRAJAYA – Malaysia sedia memainkan peranan penting bagi menghentikan tidak berperikemanusian rejim Israel yang berterusan mencabuli hak asasi dunia, tegas Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, beliau sendiri akan menghubungi Emir Qatar, Sheikh Tamim Hamad Al-Thani, selain pemimpin negara Islam lain sebagai langkah mencari sokongan membendung kebiadapan Israel yang semakin keterlaluan.
Antara pemimpin lain kata beliau adalah Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mahkota Mohammed Salman dan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan
“Kalau perlu, saya akan hubungi Emir Qatar termasuk beberapa pemimpin Islam lain, Erdogan dan Putera Mahkota Mohammed Salman dan beberapa yang lain.
“Ini untuk fikirkan keperluan kerana kebiadapan Israel itu amat keterlaluan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Sains Sosial dan Kemanusiaan ke-9 (The 9th International Conference on Social Sciences and Humanities – ICOSH 2025) di sini hari ini.
Semalam, Israel mencetuskan kejutan besar di Timur Tengah apabila melancarkan serangan udara di Doha, Qatar dengan menyasarkan pejabat kepimpinan kanan Hamas.
Letupan kuat dilaporkan menggegarkan kawasan Leqtaifiya dan Katara, dengan asap tebal menjulang tinggi di udara.
Media antarabangsa mengesahkan serangan itu mengena pasukan perunding Hamas yang berada di ibu negara Qatar.
Serangan itu dianggap cubaan Israel menggagalkan rundingan gencatan senjata Gaza yang sedang diusahakan.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, sistem dunia ketika ini sudah gagal kerana membiarkan satu negara melakukan jenayah tanpa dikenakan sebarang tindakan. – MalaysiaGazette
















