KUALA LUMPUR – Biro Hubungan Antarabangsa Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyeru Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) segera mengadakan sidang tergempar bagi mengutuk keras tindakan rejim Israel menyerang bandar Doha, Qatar.
Biro itu dalam satu kenyataan hari ini turut menyeru OIC mengkoordinasi langkah-langkah diplomatik, politik dan ekonomi sebagai tindak balas terhadap keangkuhan rejim Zionis.
Dalam masa sama, katanya, semua negara khususnya di dunia Islam, Kesatuan Eropah (EU), Asia, Afrika dan Amerika Latin diseru memperluaskan boikot terhadap Israel dalam semua bentuk, sama ada politik, ekonomi, perdagangan, sukan dan kebudayaan sehingga rejim Zionis itu menghentikan jenayah kemanusiaannya.
“Keadilan juga menyeru agar Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengambil langkah tegas untuk menggantung dan seterusnya menamatkan keahlian Israel daripada PBB, sejajar dengan tindakan yang pernah dikenakan terhadap rejim apartheid Afrika Selatan dahulu,” katanya.
Kenyataan itu menambah, serangan Israel itu sekali lagi membuktikan bahawa rejim Zionis Israel adalah ancaman serius kepada keamanan antarabangsa dan pelanggaran terang-terangan terhadap undang-undang antarabangsa serta Piagam PBB.
Sehubungan itu, katanya, Malaysia bersama masyarakat dunia mesti berdiri teguh menentang kezaliman tersebut dan memperjuangkan hak rakyat Palestin serta menegakkan prinsip undang-undang antarabangsa.
Semalam, Kementerian Luar Negeri Qatar mengesahkan kejadian letupan yang berlaku di Legtaifiya, Doha adalah serangan rejim Israel ke atas pejabat pemimpin Hamas. – MalaysiaGazette
















