Wanita SPRM
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Rekod sabitan kes membabitkan Pemangku Pengerusi Halal Development Corp (HDC), Datuk Azhari Shari masih wujud dalam Pangkalan Data Pesalah Rasuah.

Bahagian Komunikasi Strategik (BKS) SPRM dalam kenyatannya berkata, ia hukuman denda terhadap Azhari yang pernah disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan ia sudah pun dilaksanakan mahkamah.

Penjelasan itu susulan kepada kenyataan dibuat HDC yang Azhari sudah pun melalui tapisan keutuhan oleh SPRM dan tidak mempunyai rekod bersalah berkaitan rasuah.

BKS SPRM memaklumkan tapisan keutuhan dijalankan pihaknya terhadap Azhari sekadar untuk panduan kepada HDC selaku pemohon dan tidak bersifat mengikat.

Semakan dijalankan SPRM pada 30 Oktober 2024 atas permohonan HDC mendapati tiada sebarang rekod siasatan aktif atau fail terbuka ke atas Azhari didapati pada tarikh semasa.

Maklum balas rasmi dikemukakan kepada pihak HDC pada 4 November 2024 dan mereka dimaklumkan secara faktanya bahawa tiada siasatan aktif sedang dijalankan SPRM terhadap penama ketika itu.

“Untuk rekod, penama (Azhari) pernah disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan sudah dikenakan hukuman denda sebanyak RM1,900 oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 23 Oktober 2023,” katanya.

HDC sebelum ini dilapor mendakwa melalui keputusan Jawatankuasa Tapisan Integriti SPRM bertarikh 4 November tahun lalu, Azhari selaku pemangku pengerusinya itu sudah disahkan bebas daripada sebarang rekod kesalahan rasuah

Penjelasan itu dibuat selepas keberadaan Azhari dalam Lembaga Pengarah HDC dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari, merujuk pengakuan bersalah Azhari dalam satu kes jenayah.

Dalam pada itu, BKS SPRM menasihatkan semua pihak tidak membuat sebarang kenyataan atau spekulasi yang boleh mengelirukan atau menjejaskan proses semakan keutuhan yang dijalankan secara profesional dan berintegriti.

SPRM komited untuk terus memastikan ketelusan dan kebertanggungjawaban dalam setiap proses semakan dan siasatan dijalankan, selaras prinsip integriti dan tadbir urus yang baik, kata kenyataan yang sama. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast