BUTTERWORTH – Cubaan sindiket mengaut keuntungan dengan penyeludupan rokok dan minuman keras berjaya dipatahkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang apabila menyerbu sebuah rumah teres di Padang Serai, Kedah awal bulan ini.
Pengarah JKDM Pulau Pinang, Datuk Rohaizad Ali berkata, serbuan Unit Operasi, Penguatkuasaan Pulau Pinang itu berjaya mengekang kerugian hasil negara berjumlah hampir RM535,000.
“Rampasan melibatkan 438,824 batang rokok dan 1,377.6 liter minuman keras pelbagai jenama yang disimpan di kediaman berkenaan.
“Nilai sitaan dianggarkan RM168,395.68 manakala cukai yang terlibat adalah RM366,444.92, menjadikan jumlah keseluruhan hampir RM535,000,” katanya pada sidang media di Stor Penguatkuasaan Bagan Jermal di sini, hari ini.
Tambah Rohaizad, pihaknya bagaimanapun tidak membuat sebarang tangkapan berikutan kediaman di sebuah taman perumahan itu tidak berpenghuni semasa serbuan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) dan Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 kerana menyimpan dan memiliki barangan tidak berkastam atau larangan import,” katanya. – MalaysiaGazette
















