PETALING JAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan telah mengambil tindakan terbaharu berhubung siasatan melibatkan Menteri Besar Incorporated (MBI).
Bagaimanapun Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata butiran lanjut mengenai tindakan itu belum boleh didedahkan kepada umum ketika ini.
“Berkaitan kes MBI, saya tidak boleh dedahkan lagi butirannya tetapi saya boleh mengesahkan bahawa SPRM telah mengambil tindakan terbaru.
“Kes ini melibatkan isu rasuah dan juga aktiviti pengubahan wang haram,” katanya di sini hari ini.
Sebelum ini, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Mohd Ismail berkata, tiga pemilik syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia antara enam individu terbaharu yang ditahan kerana disyaki terlibat dalam pelaburan MBI menerusi Op Northern Star yang dijalankan di seluruh negara sejak 26 Julai hingga 15 Ogos lalu.
Keenam-enam individu terbabit termasuk seorang wanita berusia lingkungan 40 hingga 50-an ditahan dalam operasi oleh Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA), Urus Setia Pejabat Ketua Polis Negara.
Terdahulu, pada 30 Mei lepas, Datuk Muhammed Hasbullah memaklumkan seramai 17 individu telah ditahan berkaitan kes penipuan pelaburan MBI, dengan jumlah aset yang dibekukan dan disita ketika itu mencecah RM3.81 bilion.
Tangkapan tersebut termasuk usahawan bergelar ‘Tan Sri’ dan ‘Datuk Seri’ yang dipercayai menjadi proksi serta rakan perniagaan dalam skim pelaburan berkenaan.
Mereka ditahan di sekitar Lembah Klang dan utara tanah air menerusi Op Northern Star.
Dalam perkembangan berbeza, Azam turut memaklumkan mengenai operasi SPRM di Sibu, Sarawak membabitkan penyeludupan minyak diesel.
Bagaimanapun, beliau berkata, maklumat lanjut akan diumumkan minggu depan memandangkan operasi itu melibatkan pasukan besar dan masih berjalan.
Selain itu, SPRM juga sedang melaksanakan Ops Karen di sekitar Klang bagi membanteras penyeludupan arak namun butiran lanjut akan didedahkan dalam sidang media khas dalam masa terdekat. – MalaysiaGazette















