KUALA LUMPUR – Parlimen Malaysia dijangka membahaskan isu buli dengan lebih serius pada sidang akan datang selepas semua laporan daripada beberapa sesi townhall yang bakal diadakan diserahkan kepada Speaker Dewan Rakyat.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata, laporan itu mesti diserahkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Wanita, Kanak-Kanak dan Pembangunan Masyarakat, Yeo Bee Yin kepadanya untuk dibincangkan terlebih dahulu.
Katanya, beliau akan mencari masa yang sesuai untuk pengerusi jawatankuasa berkenaan membentangkannya sebelum membenarkan perkara itu dibahaskan.
“…dan ini kerja yang mereka lakukan tidaklah sia-sia (townhall). Kalau tidak, ia jadi satu laporan dan mungkin laporan tu kita simpan saja.
“Tapi, rakyat tak tahu apa yang sedang berlaku. Jadi, perjumpaan hari ini penting, laporan tu penting dan perbahasan itu penting. Akhirnya keputusan yang akan diambil oleh kerajaan juga penting. Tapi dia kena bermula dengan hari ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media ketika ditemui selepas merasmikan sesi Townhall Hentikan Buli di Dewan Bankuet, Parlimen di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Johari berkata, sesi townhall tersebut bukan hanya diadakan hari ini sebaliknya turut akan dilakukan di luar Kuala Lumpur.
Beliau akan melihat terlebih dahulu laporan yang bakal diserahkan kepadanya nanti berhubung mengenai perkara itu sebelum sebarang keputusan dibuat.
“Katanya dia nak keluar daripada KL. Nak pergi mungkin ke sekolah-sekolah lain, ke tempat-tempat lain,” tambah beliau.
Terdahulu, dalam ucapan perasmiannya Johari berkata, maklum balas daripada townhall yang diadakan sangat penting untuk sebarang tindakan dapat diambil dalam menangi masalah itu.
Katanya, jawatankuasa pilihan khas yang ditubuhkan juga sangat berkuasa kerana boleh mencadangkan kepada Parlimen mengenai perkara-perkara tertentu.
“Pandangan ini akan dikutip, akan dibukukan, akan dijadikan laporan dan insya-Allah saya akan membenarkan debat berlaku supaya seluruh negara tahu bahawa ada satu kumpulan manusia berpayung di bawah jawatankuasa ini memandang serius apa yang sedang berlaku,” ujarnya. – MalaysaiGazette
















