KUALA LUMPUR – Pempengaruh kontroversi, Cik Epal memberi bayangan sedang menjalin hubungan cinta dengan seorang jejaka dikenali sebagai Ammar dan kini menuju fasa baharu.
Spekulasi semakin bertiup kencang apabila pasangan itu bakal menamatkan zaman solo tidak lama lagi susulan Cik Epal dan pasangannya dikatakan sudah membuat persiapan bagi meraikan majlis bahagia itu.
Cik Epal atau nama sebenarnya Murni Mahmud menerusi satu video di media sosialnya hari ini memaparkan ibu tunggal dua anak itu sedang memilih baju Melayu buat pembawa dulang hantaran lelaki sebelum disapa oleh Pengurus Pemasaran Jakel, Muzaffar Jakel.

“Betul ke ni? Astaghfirullahalazim. Berapa dulang boy? Tujuh?” soal Muzaffar.
“Hanya nak buat untuk dulang boy,” kata Cik Epal.
Muzaffar juga memaklumkan pihaknya sedang mengadakan jualan jumbo dengan harga RM59 dan ia diakui Cik Epal baju itu merah untuk persalinan dulang boy.
Sebelum ini, Cik Epal dan bekas suaminya, Jofliam yang disahkan bercerai pada Oktober 2024 setelah 10 tahun berkahwin.
Mereka mendirikan rumah tangga pada 1 Jun 2014 dan dikurniakan sepasang cahaya mata yang bernama Han dan Yuki.
Namun kemelut mereka berterusan di media sosial apabila kedua-dua pihak saling menyalahkan dan berbalas kenyataan termasuk tuduhan Cik Epal disifatkan tidak menjaga maruah semasa tempoh iddah.
Jofliam juga mendakwa Cik Epal yang menyembunyikan dokumen penceraian, selain insiden serangan di rumah apabila isteri baharu, Jofliam iaitu Emira Delyati mendakwa dia cedera akibat dikasari wanita itu.
Pelbagai pihak menyeru mereka untuk menghentikan perselisihan dan menyelesaikan masalah keluarga secara tertutup. – MalaysiaGazette
















