KUALA LUMPUR – Pemuda DAP (DAPSY) kesal terhadap insiden serangan ke atas Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman yang cedera ketika operasi pengosongan di Kampung Sungai Baru.
Menurut DAPSY, tindakan mencederakan penjawat awam khususnya anggota polis yang sedang menjalankan tugas adalah perbuatan melampau dan sama sekali tidak boleh diterima.
“DAPSY kesal dengan insiden serangan ke atas Ketua Polis Daerah Dang Wangi yang cedera ketika operasi pengosongan di Kampung Sungai Baru. Kami merakamkan simpati dan mendoakan agar beliau segera sembuh
“Keselamatan pasukan penguat kuasa wajib dihormati,” kata sayap pemuda DAP itu dalam satu kenyataan hari ini.
Awal hari ini, Sulizmie Affendy mengalami pendarahan akibat kecederaan berpunca selepas Sulizmie dibaling objek ketika bertugas mengawal keadaan di lokasi berkenaan.
Dalam kenyataan sama, DAPSY juga menegaskan, kerajaan sentiasa menghormati hak untuk berhimpun secara aman.
Namun, katanya, kebebasan tersebut tidak boleh disalahgunakan untuk kepentingan politik sempit sehingga mencetuskan provokasi, keganasan atau menggugat ketenteraman awam.
“DAPSY mengecam sekeras-kerasnya tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang mencederakan Sulizmie. Pihak berkuasa digesa menjalankan siasatan penuh, mengenal pasti serta menangkap semua pihak terlibat termasuk dalang di sebalik insiden tersebut,” katanya lagi.
Malah DAPSY berpendapat, jika terbukti wujud provokasi bermotif politik, tindakan tegas perlu diambil segera demi menjaga keharmonian masyarakat dan perpaduan negara.
“DAPSY menjunjung prinsip kedaulatan undang-undang. Segala bantahan atau ketidakpuasan hati hendaklah disalurkan melalui proses undang-undang dan kehakiman termasuk semakan kehakiman, bukannya melalui keganasan atau kekerasan,” tegas kenyataan itu.
Pada masa sama, mereka menyeru rakyat agar menolak sebarang bentuk hasutan, kebencian dan maklumat palsu yang hanya menyemai perpecahan dalam masyarakat.
Insiden di Kampung Sungai Baru itu mencetuskan perhatian ramai selepas Sulizmie dilaporkan cedera ketika mengetuai operasi pengosongan sekali gus menimbulkan persoalan mengenai motif serangan berkenaan.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, pihaknya telah menahan beberapa individu bagi membantu siasatan berkaitan insiden tersebut.
Ia susulan kekecohan ketika operasi pengosongan 37 unit rumah teres Kampung Sungai Baru. – MalaysiaGazette
















