Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah yang juga Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang.

PETALING JAYA – Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menegaskan Gagasan Bandar Desa akan menjadi pemacu utama transformasi luar bandar dengan pendekatan lebih inklusif, lestari dan seimbang.

Menurut timbalan menterinya, Datuk Rubiah Wang, gagasan itu berteraskan falsafah D.N.A yang bermaksud D – Desa yang berpaksikan digitalisasi, N – neksus ekonomi dan hab pelaburan, serta A – pemeliharaan alam semula jadi dan biodiversiti.

“Sejajar dengan falsafah D.N.A Desa, kita perlu memahami pembangunan desa bukan hanya terhenti pada pembinaan infrastruktur fizikal semata-mata.

“Ini tentang membina masa depan dan membuka potensi rakyat kita,” katanya ketika berucap merasmikan Simposium Bandar Desa 2025 hari ini.

Rubiah berkata, gagasan digerakkan secara menyeluruh melalui falsafah DNA yang berpaksikan tiga teras utama, pertama, Digitalisasi dan Internet Berkelajuan Tinggi, bakal menjadi pemangkin tenaga kerja profesional digital, membuka peluang ekonomi baharu seperti gig dan platform digital.

“Ia akan menarik minat belia desa untuk kekal di kampung sekaligus mengurangkan penghijrahan ke bandar serta masalah sosial anak muda,” katanya

Dalam pada itu, beliau berkata, membandarkan desa bukan bermaksud menukar wajah desa menjadi bandar, sebaliknya memastikan kualiti hidup masyarakat luar bandar setara dengan masyarakat bandar.

“Bandar Desa berperanan sebagai neksus ekonomi yang menghubungkan teknologi dan membina jaringan sosial inklusif.

“Memperkasa belia luar bandar bukan sekadar memberi kemahiran, tetapi mempersiapkan mereka untuk memimpin dalam dunia yang pesat berubah,” jelasnya.

Beliau turut menekankan kepentingan pemerkasaan belia desa melalui TVET, profesional digital serta keusahawanan berasaskan tradisi desa yang dimodenkan bagi memastikan generasi muda menjadi peneraju masa depan .

Dalam ucapannya, Rubiah berkata Institut Kemajuan Desa (INFRA) akan terus diperkukuh sebagai Centre of Rural Excellence (C.O.R.E) bukan sahaja di Malaysia malah di peringkat serantau melalui kolaborasi strategik dan pembangunan modal insan berimpak tinggi.

Katanya, inisiatif seperti Desa Kirana yang dilancarkan pada Julai lalu, bakal mengangkat warisan budaya, produk tempatan serta eko-pelancongan desa ke peringkat dunia menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.

“Desa adalah D.N.A kita, nadi yang mengalirkan semangat, tradisi dan masa depan negara. Marilah kita sama-sama menzahirkan komitmen bahawa desa terbilang adalah asas negara cemerlang,” tegas Rubiah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast