KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak gagal mengugurkan Hakim Mahkamah Tinggi Alice Loke Yee Ching daripada mendengar semakan kehakimannya berhubung titah adendum.
Hakim berkenaan menolak permohonan bekas perdana menteri itu selepas berpuas hati isu berat sebelah yang dibangkitkan hari ini tidak timbul dalam pendengaran substantif semakan kehakiman.
Beliau kemudian menetapkan 24 November ini bagi mendengar semakan kehakiman Najib dalam usaha memaksa kerajaan menguatkuasakan titah adendum bagi membolehkannnya menjalani baki hukuman penjara sebagai tahanan rumah.
Pada prosiding hari ini, Najib mengemukakan permohonan lisan agar Hakim Alice Loke menarik diri atas alasan beliau merupakan hakim sama yang menolak permohonannya untuk memulakan tindakan menghina mahkamah terhadap bekas Peguam Negara (AG) Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd Salleh.
Ketika menyampaikan keputusannya, Hakim Alice Loke berpendapat, keputusannya menolak permohonan Najib minggu lalu merupakan perkara berbeza dengan isu berkaitan titah adendum.
“Saya telah mempertimbangkan permohonan supaya menarik diri. Dapatan saya sebelum ini tidak menimbulkan berat sebelah.
“Apabila saya memutuskan bahawa kewajipan berterus terang (duty of candour) tidak timbul, ia adalah dalam konteks permohonan kebenaran prosiding menghina mahkamah terhadap bekas Peguam Negara.
“Pada peringkat itu, saya berpandangan kewajipan berterus-terang itu tidak terpakai. Oleh itu, saya menolak permohonan untuk menarik diri,” katanya.
Terdahulu, peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memberitahu mahkamah, beliau mendapat arahan daripada anak guamnya untuk memohon hakim menarik diri daripada mendengar semakan kehakiman.
Ujar Muhammad Shafee, hari ini sepatutnya ditetapkan untuk permohonan Najib bagi memasukkan bukti tambahan dalam permohonan semakan kehakiman.
“Walaupun kami belum mendapat penghakiman muktamad mengenai kebenaran menghina mahkamah, kami telah menerima rakaman lengkap prosiding itu.
“Meskipun mahkamah mendapati kewajipan berterus-terang tidak terpakai, kami berpendapat isu itu adalah asas kepada semakan kehakiman.
“Menjadi kewajipan kami membangkitkan perkara ini kerana nampaknya ada unsur berat sebelah yang mewajarkan hakim menarik diri,” katanya.
Bagaimanapun, Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan, yang mewakili responden, membantah permintaan itu dengan mengatakan ia sepatutnya dibuat melalui permohonan rasmi.
Mahkamah menetapkan 19 September ini untuk keputusan permohonan Najib bagi memasukkan bukti tambahan.
Pada April lalu, Najib memohon untuk meminda pernyataan bagi memasukkan afidavit anaknya Datuk Mohamad Nizar berhubung surat bertarikh 4 Januari lalu yang ditandatangani Pengelola Bijaya Di-Raja dari pejabat Sultan Pahang yang mengesahkan salinan titah adendum adalah benar.
Najib memohon perintah mandamus untuk memaksa responden memberikan jawapan dan mengesahkan kewujudan titah adendum bertarikh 29 Januari 2024.
Beliau menamakan Menteri Dalam Negeri, Pesuruhjaya Negara Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Pembaharuan Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang di Jabatan Perdana Menteri dan Kerajaan Malaysia sebagai responden.
Najib memohon perintah bahawa, sekiranya titah adendum wujud, responden atau mana-mana daripada mereka diarahkan untuk segera melaksanakannya, termasuk memindahkannya dari Penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur untuk menjalani baki hukuman di bawah tahanan rumah.
Najib menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022, selepas disabitkan kesalahan menyeleweng RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.
Dia dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta oleh Mahkamah Tinggi. Sabitan dan hukuman itu kemudiannya dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan, yang menolak rayuannya.
Najib kemudiannya memfailkan petisyen untuk pengampunan diraja pada 2 September 2022. Lembaga Pengampunan kemudiannya mengurangkan tempoh penjaranya daripada 12 tahun kepada enam, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta. – MalaysiaGazette
















