KUALA LUMPUR – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin menyelar insiden kekecohan yang tercetus dalam operasi pengusiran di Kampung Sungai Baru sehingga mencederakan anggota polis dan orang awam.
Hamzah menegaskan kejadian itu tidak sepatutnya berlaku sekiranya semua pihak memilih jalan perundingan berbanding tindakan tergesa-gesa mengusir penduduk.
Beliau turut berkata, kekecohan berkenaan sebenarnya boleh dielakkan sekiranya pihak berkuasa dan pemaju mengambil pendekatan lebih berhemah.
Menurutnya, operasi pemilikan kosong itu wajar ditangguhkan kerana penduduk sudah memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
“Kekecohan ini sebenarnya boleh dielakkan melalui perundingan. Operasi pemilikan kosong sebenarnya boleh ditangguhkan kerana penduduk sudah pun memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Hamzah menegaskan penduduk yang berhimpun tidak wajar dilabel sebagai penghasut atau penentang pembangunan, sebaliknya mereka hanya mahu menyuarakan ketidakpuasan hati terhadap isu yang membabitkan maruah serta hak ke atas kediaman sendiri.
“Penduduk berhimpun hanyalah demi menyuarakan ketidakpuasan hati kerana isu Kampung Sungai Baru ini bukan semata-mata soal pembangunan, tetapi ia menyentuh maruah dan hak ke atas kediaman serta harta benda mereka,” jelasnya.
Katanya, isu perumahan dan pemilikan tanah tidak boleh dipandang ringan kerana ia menyentuh aspek kebajikan rakyat.
Beliau menegaskan kerajaan perlu memastikan nilai kemanusiaan serta hak asasi rakyat sentiasa dipelihara.
“Isu ini tidak boleh dipandang enteng dan mesti ditangani secara adil dengan memastikan aspek kebajikan, nilai kemanusiaan serta hak asasi rakyat dilindungi dan dihormati oleh semua pihak,” ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Pas turut mengecam tindakan pemaju yang melaksanakan operasi pengosongan terhadap 179 penduduk Kampung Sungai Baru hari ini dengan menggunakan perintah mahkamah Order 89.
Ketua Penerangan Pas Pusat, Ahmad Fadhli Shaari dalam kenyataan media berkata pihaknya memahami bahawa pada 20 Ogos lalu, pemaju memperoleh perintah ex parte daripada mahkamah yang memberi kebenaran memasuki kawasan, termasuk membuka mangga pintu, tingkap, dinding dan bumbung rumah bagi tujuan pengambilalihan.
“Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mengecam tindakan pemaju yang melaksanakan pengosongan terhadap 179 penduduk Kampung Sungai Baru pada 11 September 2025 berasaskan perintah mahkamah melalui Order 89,” kata Fahdli.
Namun katanya, tindakan pemaju yang meneruskan pengosongan secara tergesa-gesa sedangkan rayuan penduduk dijadualkan untuk dibicarakan di Mahkamah Rayuan pada 3 Oktober ini adalah amat tidak berperikemanusiaan.
“Sepatutnya, pemaju menunjukkan budi bicara dengan menunggu proses rayuan selesai. Menghalau penduduk seolah-olah mereka penceroboh di tanah sendiri adalah suatu tindakan yang zalim,” katanya lagi.
Terdahulu, operasi pengusiran di Kampung Sungai Baru dilaporkan bertukar kecoh sehingga mencederakan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Sulizmie Affendy Sulaiman. – MalaysiaGazette
















