Provokasi antara penduduk dengan anggota Pasukan Simpanan Polis Persekutuan (FRU) susulan proses pengusiran penduduk 15 rumah oleh bailif mahkamah di Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 11 SEPTEMBER 2025.

KUALA LUMPUR –  Menteri Dalam Negeri mengarahkan siasatan rapi dilakukan demi memastikan dalang insiden provokasi dan mencederakan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Suzilme Affendy Sulaiman dibawa ke muka keadilan.

Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata,  insiden tersebut merupakan tindakan keji, tidak bertamadun yang tidak boleh diterima sama sekali.

“Keselamatan dan kesejahteraan rakyat serta integriti pasukan keselamatan negara adalah keutamaan yang tidak boleh dikompromi,” katanya menerusi kenyataan.

Tambah beliau, meskipun kerajaan menghormati hak rakyat untuk berhimpun secara aman bagi menyatakan pendirian namun ia tidak wajar disalahgunakan.

“Prinsip ini konsisten dipelihara sejak sekian lama dengan pelbagai himpunan yang berlangsung tanpa sekatan selagi mana ia mengikut lunas undang-undang.

“Kebebasan ini hadir bersama tanggungjawab. Ia menuntut semua pihak untuk mematuhi hukum, adab serta undang-undang negara,” katanya lagi.

Sulizmie cedera di bahagian kepala semasa rempuhan halangan polis oleh sekumpulan individu yang mendesak untuk masuk ke dalam kawasan operasi di Kampung Sungai Buru.

Difahamkan kecederaan itu berpunca akibat dibaling objek.

Operasi tersebut dilakukan susulan pelaksanaan writ milikan kosong terhadap 26 hak milik individu membabitkan 37 rumah teres di kawasan itu.

Susulan kejadian, polis dilaporkan menahan beberapa individu dipercayai terlibat semasa rempuhan penduduk.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast