PUTRAJAYA – Semua pihak diminta memberikan pandangan dan kritikan berhubung pelaksanaan sistem Tribunal Antibuli yang bakal diwujudkan khusus untuk kanak-kanak.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said menegaskan, setiap cadangan dan pandangan yang disuarakan akan dinilai dengan teliti sebelum dimuktamadkan dalam penggubalan rang undang-undang berkaitan.
“Kalau kita tengok tadi, ramai yang beri pandangan berhubung isu tanggungjawab, liabiliti, malah ada yang berkongsi pengalaman mereka sendiri. Itu adalah sesuatu yang kita jangka.
“Kita tidak akan memberi sebarang respons muktamad buat masa ini kerana mahu memberi ruang kepada semua pihak untuk bersuara dan memberikan pandangan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas Sesi Townhall Antibuli anjuran Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) di sini, hari ini.
Hadir sama Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.

Mengulas lanjut, Azalina berkata, kerajaan juga sedang mempertimbangkan skop perundangan sama ada tribunal itu hanya akan terpakai kepada golongan bawah 18 tahun dan peringkat usia persekolahan atau diperluaskan kepada semua golongan seperti yang dilaksanakan bagi Tribunal Gangguan Seksual.
“Ini antara perkara dasar yang sedang diperhalusi oleh kerajaan sebelum rang undang-undang berkenaan dimuktamadkan,” ujarnya.
Bagi membuka ruang berkenaan beliau berkata, pihaknya turut meluncurkan Platform Pendapat Awam Mengenai Tribunal Antibuli yang dibuka hingga hujung bulan ini termasuk melengkapkan sesi jerayawara ke seluruh negara sebelum hujung September.
“Kita akan adakan sesi townhall di Selangor, Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan Perak setakat ini, dan akan diperluas ke negeri-negeri lain.
“Kita menerima pelbagai maklum balas daripada orang ramai melalui sesi ini serta portal yang dilancarkan, dan semua pandangan sedang dinilai,” tambahnya.
Terdahulu, pada sesi pembentangan panel, Ketua Pesuruhjaya Kanak-Kanak, Farah Nini Dusuki mendedahkan kejadian buli di sekolah rendah di bawah kerajaan meningkat lebih 79 peratus pada tahun lalu iaitu 1,992 kes berbanding 1,110 pada tahun 2023.
Manakala, di sekolah menengah pula laporan kes buli berlaku sedikit peningkatan dengan rekod 5,418 pada tahun 2023 dan 5,689 pada tahun 2024.
Kajian terhadap 33,523 pelajar pada usia 13 hingga 17 tahun mendapati 26.7 peratus daripada mereka diejek rupa bentuk badan atau wajah, 16.0 peratus diejek melalui jenaka, komen atau isyarat berbentuk seksual.
Selain itu, 13 peratus dibuli dengan cara ditinggalkan daripada aktiviti dengan sengaja atau diabaikan sepenuhnya, 11.7 peratus pula diejek kerana bangsa, kewarganegaraan atau warna kulit dan lain-lain bentuk buli 20.2 peratus.
Rekod tertinggi mangsa buli pula didapati berlaku dalam kalangan kanak-kanak yang lebih muda iaitu pelajar tingkatan satu. – MalaysiaGazette
















