Absolut Bazaar x MYExpo akan dilancarkan di London di Exhibition White City dari 2 hingga 3 Mei 2026.

KUALA LUMPUR – Festival raya terbesar dan paling berpengaruh di Malaysia, Absolut Bazaar X Festival Gaya Raya (ABxFGR) akan mengembangkan penganjurannya ke destinasi baharu di luar negara pada tahun hadapan yang julung kalinya diadakan di London.

Penganjur yang juga Pengasas Absolut Events & Management, Nur Ali Nadzwan berkata, ia berikutan pengenalan platform baharu yang direka khusus untuk memperkasakan usahawan tempatan di pentas global iaitu Absolut Bazaar x MYExpo akan dilancarkan di London di Exhibition White City dari 2 hingga 3 Mei 2026.

Kata beliau, pihaknya juga meneruskan kejayaan penganjuran selama empat tahun berturut-turut berikutan permintaan yang tinggi untuk memperluaskan festival terbesar ini ke luar negara iaitu di Bridex International Convention Centre, Brunei akan berlangsung dari 27 Februari hingga 1 Mac 2026.

Ia disusuli edisi Pulau Pinang di PICCA Convention Centre dari 6 hingga 8 Mac 2026 dan seterusnya di MITEC, Kuala Lumpur dari 13 hingga 16 Mac 2026.

“Edisi London ini turut menawarkan peluang business-to-business (B2B) eksklusif untuk para peserta, bagi menembusi pasaran Eropah yang lebih luas.

“Mereka berpeluang bertemu pengedar, pembeli serta rakan strategik, sekali gus membuka laluan kepada kerjasama masa hadapan, peluasan eksport dan penembusan pasaran global,” katanya dalam kenyataan.

ABxFGR sebelum ini diiktiraf serta disenaraikan dalam Malaysia Book of Records sebagai Pameran Festival Raya Terbesar di Malaysia selama dua tahun berturut-turut.

Nur Ali menambah, penganjuran festival itu di luar negara diyakini dapat memperkenalkan budaya tempatan, produk halal asli, pengalaman kulinari unik serta tarikan pelancongan yang pelbagai kepada khalayak antarabangsa, selain turut menyokong inisiatif Visit Malaysia Year 2026.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast