Majlis pemeteraian perjanjian disempurnakan antara Ketua Pegawai Eksekutif ADE, Mahesh Kumar, dan Naib Presiden Eksekutif Air France Industries, Géry Mortreux.

KUALA LUMPUR – Asia Digital Engineering (ADE) melakar pencapaian antarabangsa apabila menandatangani perjanjian jangka panjang dengan operator penerbangan global, Air France.

Syarikat penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih pesawat (MRO) milik Capital A itu berkata, ia akan terlibat dalam kerja-kerja penyelenggaraan berat dan pengubahsuaian pesawat Airbus A330.

“Di bawah kontrak perjanjian itu, ADE memulakan pemeriksaan penyelenggaraan berat terhadap pesawat milik Air France bermula Oktober ini dengan kerja-kerja tambahan dilaksanakan secara berperingkat.

“Kerjasama MRO secara julung kali itu tambahnya, dijangka mampu berkembang secara positif serta melibatkan lebih banyak pesawat syarikat penerbangan Perancis tersebut dalam tempoh akan datang,” katanya dalam satu kenyataan.

Sejak ditubuhkan pada 2020, ADE berjaya melaksanakan lebih 180 pemeriksaan penyelenggaraan asas, dan kini memiliki pensijilan EASA dari Eropah serta pensijilan FAA dari Amerika Syarikat (AS).

Pada masa sama, ADE juga diiktiraf sebagai Pertubuhan Penyelenggaraan Diluluskan (AMO) yang meliputi sejumlah 10 negara, termasuk Malaysia, Indonesia, Singapura, India dan Vietnam.

Perjanjian itu bukan sahaja memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab aeroangkasa serantau malah membuka laluan baharu bagi kerjasama MRO antara Eropah dan Asia.

Majlis pemeteraian perjanjian berkenaan disempurnakan antara Ketua Pegawai Eksekutif ADE, Mahesh Kumar, dan Naib Presiden Eksekutif Air France Industries, Géry Mortreux.

Acara tersebut turut disaksikan sendiri oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz serta Duta Perancis ke Malaysia, Axel Cruau.

Tengku Zafrul dalam ucapannya berkata, Malaysia berada pada posisi strategik untuk muncul sebagai hab MRO pesawat serantau berikutan pertumbuhan pesat sektor pelancongan dan trafik udara global.

“Dengan ekosistem aeroangkasa yang cukup mantap dan dasar pertumbuhan jelas, Malaysia sebenarnya sudah pun bersedia untu menjadi pusat MRO pilihan di rantau Asia Pasifik,” katanya

Sementara itu, Mortreux menyifatkan ADE sebagai rakan strategik berkelayakan tinggi dan mematuhi piawaian ketat Eropah serta jaminan penyelenggaraan cekap dan minimum gangguan operasi pesawat.

Dalam pada itu, Mahesh pula menyatakan, kerjasama kali ini dengan Air France merupakan detik penting buat industri MRO Malaysia dan ASEAN sendiri selain melibatkan model terbaharu Airbus.

“Diberi kepercayaan oleh Air France membuktikan keupayaan tinggi ADE serta daya saing rantau ini dalam kami menawarkan perkhidmatan aeroangkasa bertaraf global,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast