GELOMBANG rusuhan membadai Jakarta ibarat taufan geruda kemudiannya merebak ke serata Indonesia sejak bulan Ogos 2025. Ia tidak hadir tiba-tiba. Ia berpunca daripada api kecil yang mulai marak daripada krisis pergeseran kepimpinan, tekanan ekonomi, dan peralihan haluan dasar luar yang semakin aktif. Dari jalanan Jakarta hingga ke persada antarabangsa, rusuhan ini memberi gambaran Indonesia masih belum selesai merungkai permasalahan yang wujud dalam negara Republiknya.
Presiden Prabowo Subianto (Prabowo) adalah pemimpin Partai Gerakan Indonesia Raya (Gerindra), telah mengambil alih tampuk kuasa pada Oktober 2024 dengan mandat rakyat. Berbeza dengan Malaysia yang mengamalkan sistem Parlimen Inggeris iaitu sistem Westminster, Indonesia menggunakan sistem presiden separa-berasingan.
Presiden dipilih terus oleh rakyatnya untuk tempoh lima tahun dan memegang kuasa eksekutif penuh. Manakala Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) berfungsi sebagai badan legislatif. DPR berbanding Dewan Rakyat Malaysia, mereka tiada kuasa untuk menjatuhkan Presiden melalui undi tidak percaya di dewan Parlimen.
Sejak awal pentadbirannya, Prabowo berjaya merangkul hampir semua parti besar ke dalam koalisi pemerintah. Ini menunjukkan kekuatan Prabowo dalam menyatukan pelbagai parti di dalam kerajaan Indonesia yang baharu. Di sudut yang lain, mekanisme semak dan imbang (check and balance) semakin melemah. Hal ini berbeza dengan era Presiden Joko Widodo (Jokowi), di mana walaupun terdapat kompromi politik, masih wujud blok pembangkang yang berfungsi.
Salah satu titik temu antara Jokowi dan Prabowo sebelum peralihan kuasa adalah projek mega Ibu Kota Nusantara (IKN) yang terletak di daerah Kalimantan Timur. Projek ini bertujuan menjadi ibu kota baru menggantikan Jakarta bakal menelan AS$35$ juta. Jokowi, dengan sokongan Prabowo, telah mencaturkan anaknya Gibran Rakabuming Raka (Gibran) menjadi Naib Presiden Indonesia, bagi meneruskan legasinya.
Jokowi bertindak memastikan perkara ini terjadi melalui kelonggaran syarat umur oleh Mahkamah Perlembagaan. Ketika itu hakim yang mengesahkan syarat umur baru ketika itu dipimpin oleh bapa saudara Gibran iaitu Anwar Usman. Langkah ini dilihat sebagai strategi kesinambungan projek IKN dan pengukuhan pengaruh Jokowi.
Setelah naik takhta kuasa, Prabowo mengurangkan peruntukan IKN daripada 43.4 trilion rupiah pada 2024 kepada hanya 6.3 trilion rupiah pada 2026. Hal ini mengisyaratkan keretakan koalisi Prabowo-Gibran. Bagi kelompok politik Kumpulan Solo, fraksi penyokong Jokowi, kenaikan cukai termasuk Pajak Bumi dan Bangunan (PBB) adalah cara untuk menampung kos projek IKN. Namun, anehnya seolah-olah beban ini dilemparkan seratus peratus kepada Prabowo.
Ketika era Jokowi, kenaikan cukai banyak dikaitkan dengan pembiayaan projek mega seperti kereta api laju Whoosh. Pendekatan Jokowi berfokus kepada infrastruktur dan pemodenan. Kini di era Prabowo, cukai dialirkan untuk membiayai Program Makan Bergizi Gratis (MBG), satu inisiatif Prabowo bagi mengatasi masalah kekurangan zat makanan rakyat Indonesia.
Walaupun skim MBG telah mencapai 23 juta penerima manfaat termasuk ibu hamil dan pelajar sekolah, ia dikritik hebat oleh Institute for Development of Economics and Finance (INDEF). Mengikut kritikan mereka, peruntukan besar ini mengorbankan peruntukan sektor lain serta mencatatkan lebih 4,000 kes keracunan makanan dalam tempoh lapan bulan.
Jurang pendapatan yang ketara meruncingkan lagi keadaan. Ahli Parlimen Indonesia menerima gaji sekitar 104 juta rupiah sebulan — bersamaan 27 kali ganda purata gaji minimum wilayah (UMR) nasional iaitu 3.7 juta rupiah. Elaun perumahan bulanan baharu sebanyak 50 juta rupiah pula hampir 10 kali ganda gaji minimum di Jakarta.
Perbezaan ketara ini menjadi simbol ketidakseimbangan sosial, terutama ketika rakyat Indonesia masih berdepan kenaikan cukai dan kos sara hidup.
Ketika masih bergelut dalam masalah tekanan ekonomi, polis seakan mengambil peluang ini untuk menguatkan lagi cengkaman pengaruh. Persepsi rakyat terhadap Polis Republik Indonesia semakin menjunam ke paras negatif.
Laporan menunjukkan sekitar 30% rakyat pernah membayar rasuah kepada polis dalam pelbagai urusan. Malahan, cadangan pindaan undang-undang baru ini bakal memberi kuasa lebih luas kepada pihak polis Indonesia.
Sebagai contoh, Akta 90: membolehkan penahanan suspek melebihi tempoh satu hari sebelum dibawa ke mahkamah. Akta 16 para (1): membenarkan penggunaan kaedah pengawasan (surveillance) polis dalam proses siasatan. Ini menambahkan lagi kegusaran rakyat Indonesia terhadap integriti
Dalam rusuhan terkini, tindakan keras polis Indonesia telah menyebabkan insiden kematian Affan Kurniawan, seorang pengemudi ojek telah maut dilanggar kenderaan perisai polis Indonesia BRIMOB.
Tragedi ini telah menjadi belerang yang meledakkan kemarahan rakyat terhadap pemerintah. Presiden Prabowo mengakui kemungkinan berlaku kesilapan oleh anggota polis, tetapi masih menegaskan bahawa perusuh adalah punca utama korban rakyat awam.
Rakyat Indonesia tidak dapat menerima kenyataan ini hasil ketidakpercayaan mereka kepada institusi polis Indonesia.
Dari sudut dasar hubungan luar pula, dahulu Jokowi terkenal dengan hubungan eratnya dengan China melalui Belt and Road Initiative (BRI), yang membawa masuk pelaburan besar seperti projek kereta api laju dan IKN.
Prabowo pula cuba memposisikan Indonesia dalam kerangka penjajaran berbilang (multi-alignment) sebagai pendekatan baru. Indonesia melalui Prabowo menyertai BRICS pada Januari 2025, membuka akses kepada dana New Development Bank dan peluang perdagangan baharu. Kedua, rundingan diteruskan untuk menyertai kerjasama ekonomi OECD dan CPTPP. Ketiga, Indonesia memainkan peranan sebagai jambatan penghubung antara negara-negara maju dan negara- negara membangun.
Namun, penyertaan Indonesia dalam BRICS dilihat oleh Washington sebagai cabaran terhadap wewenang AS. Presiden AS Donald Trump mengancam tarif tambahan kepada negara BRICS, termasuklah Indonesia, sebagai ahli BRICS. Bagi mengelak tekanan ekonomi, Prabowo mencapai kesepakatan dagang di mana AS menurunkan tarif eksport Indonesia daripada 32% kepada 19%, tetapi sebagai balasan, AS mendapat akses bebas tarif penuh ke pasaran Indonesia serta komitmen pembelian pesawat Boeing, produk tenaga, dan pertanian.
Penganalisis memberi amaran bahawa kecenderungan Prabowo dengan koalisi BRICS, khususnya Rusia dan China, boleh menjejaskan reputasi Indonesia sebagai negara bebas- aktif. Keputusan beliau untuk tidak menghadiri sidang G7 demi bertemu Presiden Vladimir Putin di St. Petersburg mengukuhkan lagi persepsi bahawa Jakarta telah condong ke poros “revisionis” Rusia–China–Iran era Prabowo.
Krisis rusuhan ini dipacu oleh tiga faktor utama. Pertama, konsolidasi kuasa Eksekutif. Dengan hampir semua parti besar berada dalam koalisi pemerintah, DPR kehilangan fungsi semak imbang yang efektif. Ini memberi ruang kepada eksekutif untuk melaksanakan dasar tanpa semakan.
Kedua, tekanan ekonomi. Kenaikan cukai, jurang pendapatan yang melebar dan inflasi makanan akibat program MBG mencipta tekanan berganda kepada kelas menengah dan bawahan.
Ketiga, ketidakpastian strategi geopolitik. Strategi multi-alignment memerlukan kemahiran diplomasi yang tinggi. Sebarang salah langkah boleh mengundang sekatan ekonomi atau kehilangan akses pasaran, memburukkan lagi defisit fiskal. Sebagai negara terbesar di ASEAN, kestabilan Indonesia adalah penentu kekuatan blok serantau.
Jika Indonesia terus melemah akibat krisis dalaman dan tekanan luar, ASEAN akan kehilangan daya tawar dalam isu Laut China Selatan, perdagangan bebas, dan kerjasama keselamatan.
Masa depan Indonesia bergantung kepada sejauh mana pemerintah mampu memulihkan kepercayaan rakyat, menstabilkan daya ekonomi, serta mengekalkan keseimbangan dalam strategi percaturan geopolitik multipolar, kuasa Timur dan kuasa Barat. Hal ini juga boleh menjadikan pengajaran kepada negara jiran seperti Malaysia agar senantiasa cakna akan hal-hal kebajikan rakyat dan mempunyai tatakelola yang berkesan.
——–
Auzaie SM
Penyelidik Geopolitik
Nusantara Academy for Strategic Research (NASR)
-MalaysiaGazette
















