ALOR SETAR – Gagasan Pas For All (Pas Untuk Semua) bukan teori kosong semata-mata, sebaliknya benar-benar telah dipraktikkan di empat buah negeri yang ditadbir parti itu.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Pas tampil dengan gagasan itu kerana menyedari hakikat perpaduan serta kepelbagaian kaum dan agama yang menjadi teras kepada negara ini perlu dipertahankan.
Menurut beliau, di empat buah negeri yang ditadbir Pas, bukan Islam bebas mengamalkan kepercayaan, budaya dan cara hidup mereka tanpa ada sebarang halangan atau sekatan.
“Islam tidak pernah bertindak zalim kepada bangsa-bangsa lain kerana agama adalah hak dan pilihan masing-masing.
“Ini yang Pas bawakan kepada negara kita, iaitu sebuah kerajaan yang adil kepada semua kaum tanpa mengira bangsa dan agama serta sebuah kerajaan yang menjaga perpaduan tanpa mengira keturunan,” katanya.
Beliau berucap merasmikan Muktamar Dewan Pemuda Pas kali ke-66 di Kompleks Pas Kedah, di sini hari ini.
Sementara itu, tambah Tuan Ibrahim, selain perpaduan antara kaum dan agama, Pas turut menawarkan keadilan dari sudut ekonomi kepada seluruh rakyat.
Menurut beliau, golongan miskin mesti dibantu dan dibela, manakala golongan kaya-raya pula bertanggungjawab membantu golongan susah.
“Tiada makna kita uar-uarkan negara kita mendapat pelaburan bilion-bilion ringgit, sedangkan subdisi rakyat perlu dicatu.
“Tiada makna kita isytiharkan kepada dunia bahawa pelabur berduyun-duyun datang ke negara kita, lawatan demi lawatan menyaksikan bagaimana pelbagai MoU ditandatangani.
“Namun, hakikatnya rakyat di bawah merasai bagaimana susahnya, sempitnya dan besarnya jurang ekonomi yang semakin hari semakin lebar,” katanya.
Sehubungan itu, tambah beliau, sudah tiba masanya untuk seluruh rakyat sama-sama bangkit menolak pemimpin yang disifatkan suka berbohong dan tidak menunaikan janji yang dibuat.
“Kerajaan yang dibina atas asas pembohongan tidak mungkin dapat bertahan,” katanya. – MalaysiaGazette
















