ALOR SETAR – Pas diingatkan tidak menggadaikan kerusi yang mempunyai majoriti Melayu seperti DUN Bayan Baru jika tidak mahu penempatan orang Melayu termasuk mamak di Pulau Pinang terancam.
Pembahas Pulau Pinang, Saiful Rizwan Mahmud berkata, sekiranya perkara itu berulang, kelak ia boleh mengancam keberadaan Bumiputera termasuk mamak yang mempunyai komposisi penduduk mencecah 42.4 peratus.
“Jika satu kerusi di Pulau Pinang digadaikan maka akan hilang satu kampung Melayu dari peta Pulau Pinang, hampa nak mai Penang makan nasi kandar pun tak ada dah lepas ini.
“Sejarah kita tak dapat ubah, ketika mana DAP dan Gerakan memimpin Pulau Pinang, tidak dihamparkan satu karpet merah bagi kampung-kampung Melayu.
“Bahkan mereka rakus menjarah kampung-kampung Melayu, mengusir Melayu di Pulau Pinang, tidak ketinggalan Mamak,” katanya berucap membahaskan ucapan dasar Ketua Pemuda Pas pada Muktamar Dewan Pemuda Pas ke-66 di Kompleks Pas Kedah hari ini.
Saiful Rizwan juga kesal kerana haiwan ternakan babi bebas diusahakan di kawasan Melayu di Pulau Pinang.
“Kami selaku rakyat Pulau Pinang amat kecewa dan malu kerana kandang babi bebas dibina, babi bebas diternak di kawasan Melayu, di tengah kampung-kampung Melayu.
“Kami mohon supaya mengingati ketika mana Pas bermula di Pulau Pinang dan ia juga boleh berakhir di Pulau Pinang kalau kita leka dan tidak mempertahankannya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















