Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden berucap sempena perasmian Muktamar Dewan Pemuda Pas Malaysia ke-66 di Kompleks Pas Kedah, Alor Setar. Foto MUHAIMIN MARWAN, 12 SEPTEMBER 2025

ALOR SETAR – Pemuda Pas khususnya diseru untuk bekerja lebih keras bagi meyakinkan golongan bukan Islam bahawa agenda Islam yang dibawa parti itu adalah adil untuk semua kaum.

Ketua Pemudanya, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, Pemuda Pas juga perlu meyakinkan bukan Melayu yang mana kepimpinan berteraskan Islam tidak bersifat menindas, sebaliknya turut membela golongan bukan Islam.

Menurut beliau, keyakinan itu penting bagi memastikan sokongan bukan Melayu kepada Pas, seterusnya menentukan kemenangan Pas di kerusi-kerusi campuran.

“Di negeri-negeri yang Pas perintah, kita sudah buktikan.

“Sekolah-sekolah jenis kebangsaan mendapat peruntukan, rumah ibadat bukan Islam dijaga, hak warganegara mereka dihormati.

“Mereka hidup aman dan selamat. Tiada kacau ganggu perkauman, tiada perseteruan dan permusuhan,” katanya ketika menyampaikan ucaptama Muktamar Dewan Pemuda Pas kali ke-66 di Kompleks Pas Kedah, di sini hari ini.

Menurut Afnan Hamimi, Pas berdepan cabaran menangkis dakwaan daripada pihak yang disifatkan musuh Islam yang berterusan menakut-nakutkan bukan Islam daripada mendekati dan mengenali parti itu.

Sehubungan itu, tegasnya, sayap Pemuda Pas mempunyai peranan dan tanggungjawab besar untuk menangkis tohmahan tersebut, seterusnya menarik sokongan bukan Islam terhadap parti tersebut.

Dalam masa sama, jelas beliau, golongan bukan Islam juga boleh menjadikan negeri-negeri yang ditadbir Pas dan Perikatan Nasional (PN) sebagai contoh yang mana bukan Islam boleh hidup dengan aman.

“Mereka menuduh jika Pas memerintah, bukan Islam akan dipaksa pakai tudung, dirobohkan tempat ibadat mereka.

“Tetapi semua itu hanyalah propaganda musuh. Realitinya, di Kelantan, Terengganu, Kedah, Perlis, bukan Muslim hidup aman.

“Kita perlu tunjukkan pemimpin Pas terbuka, mesra dan prihatin,” katanya.

Menurut Afnan Hamimi, Pas bukan sekadar mengharapkan undi bukan Melayu dalam usaha menawan Putrajaya, sebaliknya mahukan kepercayaan bahawa masa depan Malaysia di bawah Pas adalah masa depan yang aman, makmur dan adil untuk semua kaum. – MalaysiaGazette

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast