Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP WAN Azlan Wan Mamat.

SUBANG JAYA – Polis giat mengesan seorang pemandu kereta jenis Honda BRV yang dipercayai terbabit dalam insiden langgar lari melibatkan seorang penunggang motosikal di Jalan Puchong Utama, Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila motosikal Honda EX5 yang ditunggang seorang lelaki berusia 20 tahun bergerak lurus dari arah Puchong Utama menghala Puchong Permai sebelum dilanggar kereta terbabit.

“Akibat pelanggaran itu, mangsa mengalami kecederaan ringan. Namun pemandu kereta berkenaan tidak berhenti sebaliknya terus memecut meninggalkan lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Wan Azlan, insiden berkenaan turut dirakam dalam satu video berdurasi 54 saat yang tular di media sosial memperlihatkan penunggang motosikal berkenaan cuba mengejar kereta yang dipandu seorang lelaki.

Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti identiti pemandu serta punca sebenar kemalangan.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan insiden ini diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Muhammad Hamdan Jeramatin di talian 019-4642222.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast