Foto IG Cheah Liek Hou.

KUALA LUMPUR – Jaguh badminton para negara, Cheah Liek Hou meluahkan rasa kecewa sambil mendakwa Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) masih gagal menunaikan janji untuk menyalurkan insentif tunai RM60,000 kepada pemenang pingat emas Sukan Paralimpik Paris 2024 sehingga kini.

Menerusi Instagram miliknya, Liek Hou yang memenangi emas acara perseorangan lelaki kategori SU5 (kecacatan fizikal) di Paris berkata, habuan dijanjikan itu masih belum diterima biar pun sudah setahun temasya itu melabuhkan tirainya.

“Sudah setahun Sukan Paralimpik di Paris berlalu tetapi habuan yang dijanjikan tak dapat lagi. Ini macam kena scam dengan mereka.

“Masa nak keputusan apa pun boleh dijanjikan tetapi selepas dapat pingat, apa yang kamu buat untuk atlet para? Majlis Paralimpik Malaysia, mana janjinya?,” tulisnya dalam satu hantaran media sosial hari ini.

Liek Hou turut menjelaskan, isu berkenaan hanya membabitkan MPM dan tidak melibatkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) atau Majlis Sukan Negara (MSN).

“Berkenaan tuntutan ini, ia hanya melibatkan pihak tertentu (MPM) yang menjanjikan habuan bukan hanya kepada saya tetapi juga rakan-rakan paralimpik lain.

“KBS dan MSN tiada kaitan. Malah Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh sudah menguruskan pembayaran insentif SHAKAM (Skim Hadiah Kemenangan Sukan) pada 26 Oktober 2024, sebulan selepas Paralimpik Paris berakhir.

“Kami hanya menuntut apa yang dijanjikan sahaja, tidak lebih dan tidak kurang,” katanya.

Sebagai rekod, Liek Hou mencipta sejarah selaku pemenang emas pertama acara badminton para di Sukan Paralimpik Tokyo 2020 sebelum mempertahankan kejuaraan itu di Paris tahun lalu.

Pada Ogos 2024, Presiden MPM, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin mengumumkan tiga syarikat tampil menaja insentif berkenaan dengan nilai RM60,000 untuk pemenang emas, RM30,000 (perak) dan RM15,000 (gangsa). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast