ALOR SETAR – Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man serta dua naib presiden termasuk Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar dan Datuk Idris Ahmad antara pemimpin yang layak diangkat sebagai Perdana Menteri.
Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, kemampuan ketiga-tiga pemimpin parti Islam itu tidak boleh disangkal lagi kerana mempunyai pengalaman mentadbir negara dan negeri sebelum ini.
“Saya letak pimpinan-pimpinan Pas sebagai calon-calon Perdana Menteri kerana mereka ini mempunyai rekod-rekod, pernah jadi menteri peringkat Kabinet, Menteri Besar, jadi mereka sudah ada pengalaman mengurus negeri dan negara.
“Jadi tak salah kalau saya cadangkan mereka sebagai calon Perdana Menteri. Ini cadangan, benda ni perlu diputuskan di peringkat Majlis Presiden PN.
“Saya nak cadang Timbalan Presiden, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man serta kita ada Naib Presiden Pas di mana mereka ini merupakan ahli Parlimen,” katanya kepada pemberita selepas berakhirnya Muktamar Dewan Pemuda Pas ke-66 di Kompleks Pas Kedah hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu yang berakhir pada Ahad lalu meluluskan usul menamakan presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Ahli Parlimen Pagoh sebagai calon Perdana Menteri ke-11.
Selain itu, Afnan juga berkata, ramai lagi pimpinan Pas yang boleh diangkat untuk menggalas jawatan penting negara itu.
“Ramai lagi, Menteri Besar Kedah pun boleh jadi Perdana Menteri, jadi tak ada masalah. Tapi kalau mengikut kecerdasan itu, mungkin Timbalan Presiden,” katanya.
Menurutnya, beliau tidak menamakan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang sebagai calon Perdana Menteri itu sebagai menghormati permintaan Ahli Parlimen Marang itu.
“Presiden pun dah banyak kali sebut dia tak nak jadi Perdana Menteri, sebab dia memberi ruang kepada orang lain yang lebih bertenaga,” katanya.
Ditanya tentang usul Dewan Pemuda Pas yang mahu parti Islam itu memimpin Perikatan Nasional (PN), hasrat itu bukan perkara luar biasa apatah lagi Pas mempunyai majoriti kerusi di Parlimen berbanding komponen lain.
“Dia akan cadang pemimpin masing-masing, ada sebab kerusi kita banyak, jadi cadang kitalah lead (pemimpin PN), kalau orang lain kerusi mereka banyak, mereka akan cadang mereka lead.
“Jadi siapa-siapa pun dalam pertandingan ini, atas pandangan yang sama, siapa kerusi banyak, dia akan cadang dialah lead, itu biasa,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















