ALOR SETAR – Pemuda Pas merancang mengadakan himpunan aman sekali lagi pada 4 Oktober depan bagi membantah Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB).
Ketuanya, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, himpunan itu juga sebagai solidariti terhadap nasib penduduk Kampung Sungai Baru yang diusir dari perkampungan mereka sehingga tercetus insiden kekecohan semalam.
Jelas beliau, himpunan pada 4 Oktober iaitu pada hari Ahad itu diadakan sehari sebelum berlangsungnya sidang Dewan Rakyat sesi seterusnya sebagai mesej pendirian jelas Pas menolak RUU PSB dan tindakan mengusir penduduk dari tanah mereka.
“Kerajaan Perpaduan hari ini sedan berdepan perpecahan dalam isu Akta PSB misalnya, ada tujuh ahli PKR yang menolak usul tersebut.
“Semua ini menggambarkan bagaimana tidak stabilnya Kerajaan Madani yang ada hari ini.
“Jadi, demi menyahut harapan rakyat kepada kita, jika sebelum ini kita berjaya membuat Himpunan Turun Anwar dan dia turun merata-rata tempat dan akan turun pada PRU-16, maka kali ini, kita akan mengadakan himpunan bagi membantah RUU PSB dan pengusiran penduduk di Kampung Sungai Baru,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan pada Muktamar Pemuda Pas kali ke-66 di Kompleks Pas Kedah di sini hari ini.
Pada 26 Ogos lalu, pembangkang berjaya menganjurkan Himpunan Turun Anwar di sekitar Dataran Merdeka bagi mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meletakkan jawatan selepas didakwa gagal mentadbir negara.
Menurut Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad, Himpunan Turun Anwar itu menarik kehadiran sekitar 18,000 peserta.
Sementara itu, Afnan Hamimi menggesa seluruh rakyat khususnya ahli-ahli Pas menggerakkan kempen menolak kehadiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump ke negara ini.
Menurut beliau, kempen itu perlu bergerak sekarang sehinggalah ke tarikh menjelang kehadiran Trump sebagai bantahan keras terhadap sokongan pemimpin berkenaan terhadap kezaliman yang dilakukan rejim Israel terhadap penduduk Palestin.
Dalam masa sama Pemuda Pas turut mengutuk sekeras-kerasnya pemimpin-pemimpin dunia lain yang bersekutu dengan rejim Zionis dalam tindakan kekejaman di bumi Palestin khususnya di Gaza.
“Kita membantah kehadiran mereka (Trump) dalam keadaan mereka sedang menyokong Israel, kita tidak boleh menerima mereka yang menyokong Israel hadir ke bumi Malaysia ini atas apa jua sebab atau alasan sekali pun,” katanya. – MalaysiaGazette
















