ALOR SETAR – Kebanyakan wakil rakyat Pas agak ‘tenggelam’ dengan parti lawan hanya kerana keupayaan media sosialnya yang agak pantas dan agresif.
Pembahas Dewan Pemuda Pas Melaka, Luqmaanul Hakiim Nordin berkata, walaupun Pas mempunyai 117 wakil rakyat namun ketidakupayaan akaun media sosial mereka sukar menarik perhatian rakyat.
“Pihak lawan kita lebih terkehadapan dalam menjuarai isu rakyat setiap jaringan media sosial sama ada di Facebook, TikTok mahupun WhatsApp. Saban hari mereka hadir ke ruang masalah rakyat seolah-olah mengetahui kedatangan musibah.
“Keadaan ini memberi persaingan sengit kepada kita untuk memastikan Pas mampu memberikan impak positif dalam menguruskan isu rakyat,” kata membahas ucapan dasar Ketua Pemuda Pas pada Muktamar Dewan Pemuda Pas ke-66 di Kompleks Pas Kedah hari ini.
Menurutnya, situasi ini lebih mencabar di negeri-negeri yang kurang dominan khususnya selatan tanah air hingga menimbulkan kesulitan di kawasan yang dimenangi oleh wakil rakyat Pas sendiri.
Luqmaanul berkata, wakil rakyat Pas khususnya perlu mempunyai pasukan media yang sentiasa bersiap siaga untuk menonjolkan gerak kerja serta usaha yang dilakukan.
“Pasukan media Pas perlu membina kandungan di samping memastikan batas-batas syariat terus dipelihara.
“Media sosial tidak boleh dijadikan medan mengikut hawa nafsu tetapi mesti berfungsi sebagai medium dakwah, penerangan dan pembelaan rakyat, agar maruah parti dan perjuangan Islam tetap terjaga,” katanya.
Katanya lagi, media mesti dijadikan senjata utama untuk menyampaikan penerangan yang benar kepada generasi beta dan bukannya penyebaran maksiat secara terbuka kepada masyarakat Islam.
“Hal ini bukan setakat peribadi semata-mata bahkan menjadi ancaman serius terhadap akidah dan kestabilan sosial.
“Dalam era digital yang sarat dengan budaya hiburan, maksiat dinormalisasikan melalui gurauan, kandungan ringan dan gaya hidup yang bebas hingga dosa bukan sahaja dilakukan,” ujarnya.
Malah menurutnya, ia menjadi satu kebanggaan serta dipromosikan tanpa rasa segan dan bersalah. – MalaysiaGazette
















