Presiden MAPIM, Mohd Azmi Abdul Hamid.

KUALA LUMPUR— Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) melahirkan kebimbangan berhubung lawatan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump ke Malaysia pada bulan depan.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid menegaskan, Malaysia tidak seharusnya mengorbankan prinsip keadilan, kemanusiaan dan kedaulatan semata-mata untuk hubungan diplomatik.

“Mapim menyifatkan Trump sebagai antara penyumbang utama kepada jenayah genosid Israel terhadap rakyat Palestin, termasuk sokongan terhadap penempatan haram, “Deal of the Century” dan pengiktirafan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

“Kehadiran Trump ke Malaysia tidak seharusnya dilihat sebagai ‘membersihkan’ jenayah ini,” katanya menerusi kenyataan.

Mohd Azmi berkata, pihaknya turut mengkritik dasar ekonomi Trump yang bersifat proteksionis dan memberi kesan kepada negara seperti Malaysia.

Ujarnya, rundingan ekonomi mesti menjaga kepentingan rakyat dan tidak menggadaikan kedaulatan negara.

Pada masa sama Mapim mendakwa, Trump membawa pendekatan unilateral yang menolak undang-undang antarabangsa serta menyemarakkan perkauman dan Islamofobia.

Beliau menegaskan, Malaysia perlu menyampaikan mesej yang tegas menolak penindasan dalam sebarang bentuk.

“Mapim menyeru kerajaan Malaysia mengambil pendirian tegas menolak genosid dan kolonialisme.

“Masyarakat sivil serta rakyat perlu terus memantau dasar luar negara dan semua pemimpin politik menyokong perjuangan rakyat Palestin dan bangsa tertindas,” tambahnya.

Mohd Azmi menegaskan, Malaysia mesti berdiri bersama yang tertindas, bukan yang menindas. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast