Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar ketika hadir pada Majlis Menghormati Pelantikan Ketua Hakim Negara di Istana Kehakiman, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 06 OGOS 2025 (GAMBAR FAIL)

KUALA LUMPUR – Kedudukan Peguam Negara terdedah kepada syak wasangka apabila beliau membuat keputusan terhadap siasatan jenayah terutama kes berprofil tinggi contohnya yang melibatkan anggota Jemaah Menteri.

Peguam Negara, Tan Sri Mohd. Dusuki Mokhtar berkata, ini kerana tugas Peguam Negara turut memerlukannya memberikan nasihat perundangan kepada kerajaan atau mana-mana menteri dalam melaksanakan tugas berkaitan undang-undang.

Jelas beliau kepada Malaysia Gazette hari ini, Peguam Negara juga berkewajipan menasihati Yang di-Pertuan Agong (YDPA).

“Dengan wujudnya satu jabatan berasingan untuk pendakwaan di Malaysia, Pendakwa Raya yang mengetuai jabatan tersebut dapat memberikan sepenuh perhatian kepada urusan pendakwaan sahaja dan tidak perlu terlibat dengan urusan kerajaan yang lain,” ujar beliau.

Bangunan Jabatan Peguam Negara. foto HAZROL ZAINAL, 02 NOVEMBER 2018.(GAMBAR FAIL)

Mohd. Dusuki mengulas pengumuman kerajaan tiga hari lalu untuk memisahkan sepenuhnya peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya.

Keputusan bersejarah itu diumumkan oleh Jurucakap Kerajaan yang juga Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil bahawa kerajaan pada dasarnya bersetuju mewujudkan dua jawatan berasingan yang setara berdasarkan Perlembagaan Persekutuan.

Mohd. Dusuki turut diminta oleh portal ini untuk menjelaskan secara terperinci kesan pengasingan jawatan itu kepada sistem perundangan negara.

Beliau selanjutnya berkata, apabila pengasingan itu dilaksanakan kelak, Peguam Negara tidak lagi bertindak sebagai Pendakwa Raya kerana individu lain akan dilantik memegang jawatan itu.

“Ini bermakna, jawatan Pendakwa Raya akan diwujudkan di bawah Perlembagaan Persekutuan sebagaimana jawatan Peguam Negara.

“Ketika ini, Peguam Negara mempunyai kuasa budi bicara untuk memulakan, menjalankan atau memberhentikan apa-apa prosiding bagi sesuatu kesalahan selain prosiding di hadapan mahkamah Syariah, mahkamah anak negeri atau mahkamah tentera,” jelas beliau.

Menurutnya, pengasingan kedua-dua peranan penting itu bukan perkara yang asing di negara luar kerana kebanyakannya telahpun melaksanakannya.

Beliau menjelaskan, Pendakwa Raya di luar negara kebanyakannya mengendalikan pendakwaan kes berprofil tinggi dan sensitif kerana mereka tidak terikat dengan tugas sebagai Peguam Negara.

“Pengasingan ini akan turut meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kerajaan kerana wujudnya dua individu yang dapat membuat keputusan dalam bidang tugas masing-masing,” ujarnya.

Jabatan Peguam Negara ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette berkenaan sektor kerajaan sempena Belanjawan 2022 di Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 26 OKTOBER 2021. (GAMBAR FAIL)

Mohd. Dusuki turut menjelaskan, pemisahan itu akan melibatkan perubahan kepada beberapa undang-undang utama bagi mewujudkan jawatan Pendakwa Raya di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Jelas beliau, ia melibatkan pindaan Perlembagan yang mana peruntukan baharu perlu diwujudkan bagi memberikan fungsi mendakwa kepada Pendakwa Raya.

Ketika ini, kuasa Peguam Negara yang juga Pendakwa Raya termaktub di bawah Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan.

“Apabila jawatan Pendakwa Raya diwujudkan, Kanun Prosedur Jenayah turut dipinda bagi mengemaskininya selaras dengan Perlembagaan Persekutuan,” ujarnya.

Ketika ditanya sama ada pengasingan itu akan memperkasakan lagi Jabatan Peguam Negara (AGC), beliau bersetuju kerana kuasa yang dijalankan adalah di bawah undang-undang, bukannya secara administratif.

Selain itu katanya, perubahan struktur organisasi turut akan berlaku dengan pewujudan jabatan baharu tersebut.

Ujar beliau, AGC yang merupakan Anggota Pasukan Petugas Khas Teknikal memberi jaminan akan bersama-sama agensi lain seperti Kementerian Kewangan, Jabatan Perkhidmatan Awam serta Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan dalam memperincikan semua aspek pelaksanaan termasuk struktur organisasi, perjawatan, logistik dan implikasi kewangan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast