KUALA LUMPUR – Anak kampung, anak pedalaman, anak nelayan, anak orang Felda antara yang bakal menjadi ‘mangsa’ jika matrikulasi dimansuhkan dan hanya menjadikan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) sebagai aliran tunggal.
Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Wan Muhammad Zuhir Ghazali mengingatkan jangan sembunyi belakang perkataan ‘meritokrasi’ kalau akhirnya hanya kelompok tertentu yang untung.
Tegasnya, sistem meritokrasi wujud disebabkan kebanyakan bumiputera tak ada akses berkualiti sama macam di bandar.
“Kalau semua kena ikut STPM, siapa yang paling untung? Yang dah ada tuition, sekolah top, cikgu power.
“Siapa yang paling teruk tersepit rugi? Anak kampung, anak pedalaman, anak nelayan, anak orang Felda,” katanya.
Muhammad Zuhir menegaskan, janganlah membina istana di atas pusara, menari di atas tangisan anak-anak orang kampung.
“Matrikulasi kamu kata tak adil, tapi peliknya Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) yang tak ikut dasar pendidikan kebangsaan tu tak pernah pula kamu persoalkan.
“Kenapa double standard?,” soal beliau lagi.
Semalam, Persatuan Belia Baru Universiti Malaya (UMANY) menuntut supaya program matrikulasi dimansuhkan dan menjadikan silibus STPM sebagai piawaian tunggal kemasukan ke universiti awam (UA) bagi jurusan ijazah.
Presidennya, Tang Yi Ze berkata, pihaknya mendapati silibus STPM terbukti lebih baik, selain lebih mencabar dan turut diiktiraf di peringkat antarabangsa, termasuk universiti ternama dunia.
“UMANY telah menyerahkan aduan-aduan yang diterima berhubung ketidakadilan dalam sistem Unit Pusat universiti (UPU) kepada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT),” katanya.
Yi Ze berkata, ramai pelajar STPM yang cemerlang dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) masih gagal mendapat tempat dalam kursus pilihan mereka.
Namun, kenyataan itu dikecam hebat dan ditolak keras oleh banyak pihak termasuk pemimpin politik, persatuan mahasiswa dan institusi pengajian tinggi awam.
Susulan UMANY tampil memberi penjelasan berhubung cadangannya agar program matrikulasi dimansuhkan.
Katanya, dalam kenyataan media sebelum ini, UMANY menggunakan perkataan “mansuhkan” program matrikulasi yang mungkin telah menimbulkan salah faham banyak pihak.
Ia menjelaskan, maksud sebenar cadangan tersebut adalah menggabungkan program matrikulasi dengan peperiksaan Sijil STPM, berasaskan sukatan pelajaran STPM yang diiktiraf secara meluas termasuk di peringkat antarabangsa. – MalaysiaGazette















