Foto Arkib MG

 

KUALA LUMPUR – Siswa Bersatu Malaysia menemplak Persatuan Belia Baru Universiti Malaya (UMANY) berhubung cadangan pemansuhan Program Matrikulasi dengan hanya mengekalkan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) sebagai laluan tunggal kemasukan ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) melalui sistem UPU.

Presidennya, Ameer Hazeem Mohd Zaky berkata, cadangan tersebut adalah tidak berasas dan bersifat semberono kerana tidak mengambil kira hakikat sistem kemasukan ke IPTA telah pun menggunakan meritokrasi sejak tahun 2002.

“Dakwaan sistem kuota masih digunapakai adalah tidak tepat. Sistem sedia ada menilai pelajar berdasarkan pencapaian akademik serta penglibatan kokurikulum secara menyeluruh, tanpa mengira saluran kemasukan sama ada STPM atau matrikulasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, kenyataan UMANY yang mendakwa silibus STPM lebih baik berbanding matrikulasi juga dipertikai, apatah lagi ia dikeluarkan oleh individu yang merupakan bekas pelajar matrikulasi Pulau Pinang.

Siswa Bersatu berkata, pihaknya prihatin terhadap isu pelajar STPM yang gagal memasuki universiti impiannya, namun  perkara tersebut perlu dinilai secara objektif dan bukan dijadikan alasan untuk menafikan sistem sedia ada.

“Kami faham kekecewaan sesetengah pihak, namun solusi yang dicadangkan perlulah munasabah dan tidak mempolitikkan isu pendidikan.

“Apa yang lebih penting adalah memperbaiki sistem meritokrasi agar ia lebih adil dan inklusif kepada semua,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Siswa Bersatu menyeru UMANY dan mana-mana pihak lain agar tidak mempolemikkan isu kemasukan ke IPTA dengan cadangan dangkal yang tidak berpaksikan realiti.

Sebaliknya, beliau mengajak semua pihak untuk duduk semeja dan berdiskusi secara kritis serta matang demi masa depan pelajar dan landskap pendidikan tinggi negara.

“Kami bersedia untuk turut serta dalam sebarang perbincangan demi mencari penyelesaian terbaik untuk generasi akan datang,” tegas Ameer Hazeem. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast