Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin bercakap kepada pemberita pada sidang media selepas merasmikan Muktamar Dewan Ulamak Pas Pusat ke-64 di Maahad Darul Hadis, Alor Setar, Kedah

ALOR SETAR – Parti Islam SeMalaysia (Pas) tidak menggunakan kaedah pemilihan calon Perdana Menteri seperti mana yang diamalkan kebanyakan parti pemerintah ketika ini tanpa bersandarkan kepada sistem Islam.

Mursyidul Amnya, Datuk Hashim Jasin berkata, Pas sentiasa merujuk kepada hukum-hakam Islam sebelum mengangkat seseorang pemimpin termasuk calon Perdana Menteri.

“Sistem Islam yang memilih ketua, berbeza dengan cara yang kita amalkan sekarang.

“Kita parti Islam, patut kita tonjolkan apa yang Islam nak, kita nak nilai, bab baiah kita ada, orang yang layak untuk bertanding, apa syarat-syaratnya, kita ikut lah tu.

“Keberkatan kita ikut hak Islam nak, boleh kata kosong laa orang yang dok langgar (tiada siapa layak), yang lepas (hanya) seorang dua.

“Kalau nak dibanding (Pas) dengan orang lain, kita rujuk hukum Islam dahulu,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Muktamar Tahunan Dewan Ulamak Pas ke-64 di Maahad Darul Hadis, di sini, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu yang berakhir pada Ahad meluluskan usul menamakan presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Ahli Parlimen Pagoh sebagai calon Perdana Menteri ke-11.

Selain itu, mana-mana pihak yang ingin bersama Pas tidak sepatutnya meletakkan syarat tertentu yang memberi manfaat dan menjaga kepentingan satu pihak sahaja.

“Kalau nak ikut kita, nak bersama dengan kita, bukan boleh letak syarat kita ikut dia, tak betullah. Pemimpin kita (PN) macam ini sikap dia, siapa nak jadi ketua, nak jadi Perdana Menteri, itu bukan budaya kita, kita bukan ikut macam itu.

“Dia kena ikut etika, kita tak tetapkan siapa, dia akan tentukan, keutamaan kita dalam ini, kalau ada pertembungan antara aqwa (lebih kuat, lebih hebat) dengan afdal (lebih baik).

“Kita utamakan yang lebih afdal, lebih baik dan lebih aqwa, itu dalam Islam. Kita mesti ikut islam, kalau tidak tak berapa seronoklah kalau kita guna parti Islam,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast