KUALA LUMPUR – Usaha pemerkasaan ekonomi Malaysia yang menjadi teras kepada Kerajaan Madani tidak akan lengkap tanpa pengukuhan budaya, seni dan nilai yang menjadi tunjang masyarakat berbilang kaum.
Oleh itu, usaha memacu pertumbuhan ekonomi negara perlu dilaksana seiring dengan agenda memperkasa budaya, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Bila kita jayakan negara Madani, teras kita adalah pemerkasaan ekonomi, kemampanannya. Tetapi yang kita hendak bangunkan itu manusia.
“Pemerkasaan ekonomi mestilah selari dengan pemerkasaan budaya, kita kembangkan nilai insan, manusiawi,” katanya Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Malam Gala Festival Budaya Malaysja 2025 “Wow Malaysia” di Taman Tasek Titiwangsa, di sini, malam ini.

Majlis itu turut dihadiri Menteri Pelancongan Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing; Menteri Wilayah Persekutan, Datuk Seri Zaleha Mustafa dan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Datuk Seri Shamsul Azri Abu Bakar.
Anwar berkata, penganjuran Malam Gala Festival Budaya Malaysja 2025 “Wow Malaysia” menggambarkan kehebatan negara ini kerana mempamerkan kepelbagaian budaya yang ada.
Menurutnya, acara berkenaan bukan sahaja menonjolkan satu festival tetapi juga kerencaman budaya Malaysia yang dibanggakan.
“Kekuatan kita dalam kepelbagaian, kehebatan menerima semuanya daripada pelbagai kaum, suku kaum, daerah, semua ada kekuatan dan keindahan ini dipemarkan. Inilah kehebatan luar biasa,” ujar beliau lagi.
Tambah beliau, bahasa Melayu yang sebagai bahasa rasmi pula memperkukuhkan seluruh rakyat di negara ini.
Namun kata beliau, negara ini juga menghormati hak semua kaum yang menguasai bahasa masing-masing,
“Dan dengan perkembangan dunia bersama, sekarang, kita tahu keperluan menguasai pelbagai bahasa terutamanya bahasa Inggeris,” tambah Anwar lagi.

Istimewanya Malaysia, kata beliau, walaupun budaya Melayu adalah budaya kebangsaan tetapi rakyat turut merangkul budaya suku kaum lain menjadi budaya anak Malaysia.
Sementara itu, King Sing ketika berucap pada majlis berkenaan berkata, sepanjang lawatan kerjanya ke pelbagai negara, beliau sering menerima maklum balas daripada masyarakat antarabangsa bahawa Malaysia sebuah destinasi yang kaya dengan kepelbagaian budaya dan warisan pelbagai kaum.
Katanya, inilah kekuatan sebenar Malaysia, kekayaan budaya bukan sahaja kebanggaan rakyat, tetapi juga khazanah yang dihargai semua.
“Kepelbagaian kaum dan tradisi telah membentuk keunikan Malaysia yang istimewa, yang tidak dapat ditiru oleh mana-mana negara lain.
“Budaya kita bukan hanya sekadar seni dan warisan, tetapi teras jati diri bangsa dan asas kekuatan negara.
“Lebih daripada itu, ia menjadi jambatan antara manusia merentasi sempadan, menghubungkan tamadun dan menyatukan hati manusia di seluruh dunia dengan semangat persahabatan dan perpaduan serta saling menghormati,” ujarnya. – MalaysiaGazette
















