SUNGAI PETANI – Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menyifatkan cadangan Pemuda Pas menamakan beliau sebagai calon Perdana Menteri ke-11 hanya sebagai gurauan.
Sehubungan itu, beliau meminta semua pihak supaya tidak mengambil perkara tersebut sebagai sesuatu yang serius.
Namun, beliau menegaskan, Pas tidak kekurangan pemimpin untuk diketengahkan sebagai calon perdana menteri memandangkan parti itu mempunyai ramai tokoh-tokoh profesional yang boleh diangkat apabila tiba masa dan peluang yang sesuai.
“Sekiranya rakyat memberi kita mandat, maka mereka akan melihat kemampuan kita untuk memimpin negara.
“Saya mengambil contoh Menteri Besar Terengganu (Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar) sebelum ini siapa yang kenal beliau? Tetapi apabila diangkat sebagai MB, beliau berjaya menarik pelaburan dan meningkatkan pendapatan negeri.
“Begitu juga dengan Menteri Besar Kedah (Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor), beliau sebelum ini hanya Setiausaha Politik kepada Tan Sri Azizan Abdul Razak (bekas Menteri Besar Kedah). Tapi apabila diberi mandat sebagai MB, ternyata beliau mampu menerajui Kedah.
“Maknanya Pas tidak mempunyai masalah tentang warisan kepimpinan negara,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Dewan Himpunan Penyokong Pas kali ke-10 di sini hari ini.
Semalam, Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden mencadangkan Tuan Ibrahim sebagai calon utama Perdana Menteri Perikatan Nasional (PN) sekiranya gabungan itu diberi mandat memimpin negara pada PRU-16.
Cadangan itu selepas Afnan Hamimi menyifatkan Tuan Ibrahim sebagai tokoh berpengalaman dan mempunyai keupayaan untuk menerajui negara.
Selain Tuan Ibrahim, Afnan Hamimi turut menyenaraikan beberapa pemimpin Pas lain yang dilihat berpotensi termasuk Muhammad Sanusi; Ahmad Samsuri dan Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad.
Sementara itu, Tuan Ibrahim berkata, dalam isu calon perdana menteri juga, adalah lebih baik untuk Pas buat masa ini menumpukan untuk memastikan kemenangan dalam pilihan raya umum (PRU) terlebih dahulu.
Apatah lagi, ujarnya, di peringkat Perikatan Nasional (PN), apa-apa yang menyentuh mengenai keputusan dasar termasuk dalam soal mencalonkan perdana menteri diputuskan menerusi mesyuarat Majlis Tertinggi PN.
“Insya-Allah tokoh PM itu akan muncul (selepas menang PRU), pimpinan PN buat keputusan bersama dan kita akan sokong sebab kita memimpin secara kolektif walaupun ada individu tertentu yang kita lantik,” katanya. – MalaysiaGazette
















