KUALA LUMPUR – Pembukaan kedai emas disifatkan antara taktik klasik yang digunakan untuk mengaburi kegiatan pengubahan wang haram hasil rasuah.
Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) Jais Abdul Karim berkata, pandangan itu susulan pendedahan mengenai pasangan suami isteri pegawai Jabatan Imigresen yang disyaki membuka kedai emas dengan wang sogokan baru-baru ini.
Menurut beliau, emas menjadi pilihan kerana sifatnya yang mudah dipindahkan, disimpan dan dinilai semula tanpa meninggalkan banyak jejak.
Jelasnya lagi, MCW turut mengesan pelbagai taktik lain termasuk manipulasi invois perdagangan, penggunaan kasino dan perjudian dalam talian, aset digital serta kripto, syarikat proksi keluarga, perniagaan berasaskan tunai intensif dan pembelian aset mewah.
“Pelaku kebiasaannya menggabungkan beberapa teknik sekaligus, contohnya menggunakan proksi keluarga, membuka kedai emas dan pada masa sama memindahkan dana ke platform kripto,” katanya dalam kenyataan hari ini.
“Sehubungan itu, MCW menggesa penguatkuasaan lebih ketat terhadap sektor berisiko tinggi seperti emas, kasino, e-dompet dan kripto, selain pemantauan teliti pemilik manfaat syarikat serta transaksi bernilai tinggi.
“MCW percaya tindakan tegas, pemantauan rentas agensi dan sokongan masyarakat adalah kunci untuk menutup ruang manipulasi kewangan oleh penjenayah rasuah,” katanya. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Suami isteri pegawai penguatkuasa buka kedai emas guna hasil rasuah














