Mohd Sohaimi Ishak

JOHOR BAHRU – Empat lelaki warga asing diburu selepas mencuri kabel dengan menggunakan sebuah kereta dalam kejadian di belakang rumah kedai di Taman Desa Jaya di sini pada Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak berkata, pihaknya mengesan video berkenaan kejadian itu yang tular dalam media sosial.

“Video berdurasi satu minit berkaitan rakaman empat lelaki dipercayai warga Indonesia sedang memotong dan memasukkan kabel ke dalam sebuah kereta jenis Kia Naza.

“Kejadian tersebut disedari pemilik kedai makan di kawasan tersebut yang baru mahu memasak untuk memulakan perniagaan kedai makan miliknya.

“Lelaki warga tempatan berusia 50 tahun itu kemudian membuat laporan polis,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku pukul 5 pagi dan semakan nombor pendaftaran kereta yang digunakan itu tiada rekod dikehendaki serta didaftarkan atas nama wanita warga asing.

Usaha mengesan pemilik kereta tersebut. katanya, masih giat dijalankan dan siasatan dijalankan bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Pihaknya mengalu-alu kerjasama orang ramai yang mengetahui kejadian tersebut untuk menyalurkan kepada Pegawai Penyiasat Sarjan Hassan 011-5120899 atau pusat kawalan daerah Seri Alam 07-3871422 atau hotline 07-3861422.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast