KUALA LUMPUR – Penyanyi dikir barat moden Kelantan, Eda Ezrin gembira rezekinya semakin bertambah selepas dibebaskan dari penjara di Thailand.
Pemilik nama sebenar Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail itu juga berharap peminat menerimanya Kembali ke dalam industri.
“Ada rezeki makin bertambah sejak bebas dari penjara, ada job reviu,” katanya ketika ditemui di Kota Bharu, Kelantan malam tadi.
Eda Ezrin juga memohon maaf kerana tidak dapat hadir Anugerah Industri Malaysia (AIM) di Genting Highlands malam tadi kerana bertembung dengan satu majlis di kediamannya.
Lagunya Setandan Pisang mengungguli AIM 2024 malam tadi sekaligus menewaskan empat pencabar termasuk Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza.
Media sebelum ini melaporkan, Eda Ezrin bersama suami dan empat rakannya dibebaskan dari Penjara Pusat Narathiwat selepas lebih sembilan bulan ditahan.
Mahkamah membuat keputusan itu selepas pihak pendakwa raya Thailand gagal mengemukakan saksi dan bukti untuk merayu kes berkenaan.
Pada 14 Januari lalu, Eda Ezrin dan lima yang lain termasuk suaminya didakwa di Mahkamah Wilayah Narathiwat atas pertuduhan memiliki 6,059 pil Yaba dan penggunaan dadah.- MalaysiaGazette















