ALOR SETAR – Kerjasama berpiagam antara parti politik berteraskan Melayu-Islam seperti Muafakat Nasional (MN) bakal dihidupkan selepas usul penyatuan ummah Dewan Muslimat Pas diluluskan hari ini dan bakal dibahaskan dalam Muktamar Tahunan Pas Pusat ke-71, pada Isnin.
Ahli Jawatankuasa Dewan Muslimat Pas, Dr Najihatussalehah Ahmad berkata, usul itu bertujuan untuk memastikan Islam dan Melayu dijaga dengan baik, bukan sahaja menghidupkan semula MN, bahkan penyatuan ummah keseluruhannya.
“Usul itu juga bagi memastikan pentadbiran negara diterajui oleh pemimpin Islam dan Melayu.
“Ia merentas parti, bukan fokus kepada MN lama sahaja, bahkan kita meneruskan agenda MN yang kini dijuarai oleh Tan Sri Annuar Musa,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette, di Kompleks Pas Kedah, di sini, hari ini.
Terdahulu Muktamar Tahunan Muslimat Pas ke-65 menerima 10 usul dari Pas Negeri dan Pas Kawasan termasuk usul penyatuan ummah yang diluluskan untuk dibahaskan dalam Muktamar Tahunan Pas Pusat ke-71, esok.
Sebanyak dua usul diluluskan tanpa bahas dan satu lagi usul tergempar mendesak Kerajaan Malaysia untuk meluluskan segera Akta Anti Buli yang dibahaskan dalam muktamar kali ini.
Menurutnya lagi, sekiranya usul penyatuan ummah itu diluluskan dalam muktamar kali ini, Pas akan membuka penyertaan kepada semua parti politik Melayu-Islam termasuk parti pemerintah.
“Kalau usul diluluskan, kita terbuka untuk mana-mana parti terlibat termasuk daripada kerajaan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















