KUALA LUMPUR – Seorang dilaporkan meninggal dunia selepas tanah runtuh menimpa rumah di Kampung Cenderakasih, Kolombong, Kota Kinabalu pagi tadi.
Kejadian berlaku semasa hujan lebat berterusan yang menyebabkan struktur tanah berbukit di kawasan itu menjadi tidak stabil.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sabah, Mohd Pisar Aziz berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 10.02 pagi sebelum jentera sampai kira-kira 20 minit kemudian.
Katanya, seramai 12 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Lintas dengan sebuah jentera yang diketuai PBK I Wilfred Sulai dikejarkan ke lokasi yang jaraknya kira-kira tiga kilometer.
Menurutnya, kejadian itu melibatkan 11 orang dengan empat orang mangsa telah keluar dengan selamat.
Manakala enam dilaporkan masih hilang.
Bomba berkata, maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa. – MalaysiaGazette
















