KUALA LUMPUR – DAP Sabah hari ini menggesa agar sambutan Hari Malaysia dibatalkan sebagai tanda solidariti dengan rakyat negeri ini yang sedang berdepan bencana banjir besar, tanah runtuh, serta gangguan bekalan elektrik dan air yang meluas termasuk di Kota Kinabalu, Penampang, dan kawasan Pantai Timur Sabah.
Pengerusi DAP Sabah, Phoong Jin Zhe berkata, keadaan semasa menuntut perhatian penuh daripada semua peringkat kerajaan, bukannya diisi dengan perarakan atau acara keramaian.
“Ini bukan masa untuk meraikan, ini masa untuk menggerakkan semua jentera. Rakyat di Kota Kinabalu, Penampang dan Pantai Timur sangat memerlukan tempat perlindungan, makanan, air bersih, bantuan perubatan serta pemulihan segera bekalan utiliti asas.
“Hari Malaysia seharusnya diperingati melalui khidmat dan solidariti, bukan pesta,” katanya dalam kenyataan.
Beliau menjelaskan, keadaan semakin parah apabila runtuhan tanah merobohkan menara penghantaran 275kV yang memutuskan bekalan elektrik, manakala banjir kilat menenggelamkan beberapa daerah sehingga memaksa penduduk berpindah dan menjejaskan kediaman serta sumber rezeki mereka.
Gangguan bekalan air bersih di beberapa kawasan pula memburukkan lagi krisis kemanusiaan yang sedang melanda.
Jin Zhe turut menegaskan, semangat Hari Malaysia hanya dapat dihayati apabila bencana seperti ini diiktiraf sebagai krisis peringkat nasional.
“Perpaduan dan patriotisme tidak semestinya ditunjukkan melalui sambutan rasmi, tetapi melalui tindakan tegas, rasa belas ihsan dan solidariti bersama rakyat yang menderita,” ujarnya.
DAP Sabah juga memberikan contoh insiden bencana sebelum ini, antaranya Kuala Lumpur pernah membatalkan sambutan Merdeka pada 2024 susulan tragedi runtuhan tanah besar, manakala Selangor membatalkan sambutan Aidilfitri pada 2025 selepas kebakaran besar di Putra Heights.
Sehubungan itu, DAP Sabah menggesa kerajaan negeri dan Persekutuan termasuk pihak berkuasa tempatan serta jabatan kebajikan untuk segera mempertingkatkan bantuan kepada keluarga terjejas dengan menyalurkan lebih banyak peruntukan menambah tenaga kerja di lapangan serta mempercepatkan sokongan kecemasan.
Tambah beliau, membatalkan sambutan Hari Malaysia kali ini adalah tindakan paling bermakna untuk melindungi nyawa, mengutamakan kebajikan rakyat, dan memulihkan perkhidmatan asas.
“Inilah cara sebenar kita menunjukkan semangat Hari Malaysia dengan berdiri teguh bersama rakyat yang sedang menderita,” katanya. – MalaysiaGazette















