Mohd Ridhwan Othman

JOHOR BAHRU – Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) adalah yang perlu dimansuhkan dalam sistem pendidikan negara dan bukan program pengajian matrikulasi.

Presiden Persatuan Pemuda, Puteri Malaysia Bersatu (Perimau), Mohd Ridhwan Othman berkata, pihaknya membantah sekeras-kerasnya kenyataan awal Persatuan Belia Baru Universiti Malaya (UMANY) yang menuntut supaya program pengajian matrikulasi dimansuhkan.

“Program matrikulasi perlu dikekalkan sebagai akses laluan utama ke universiti demi memastikan sistem ini berkualiti dan dapat melahirkan generasi yang bermutu dan berinterigiti tinggi.

“Pemansuhan program ini akan membataskan peluang pelajar ke pengajian tinggi dan tidak selari dengan matlamat pembangunan pendidikan negara untuk masa jangka panjang,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, Perimau amat yakin komitmen serta ketelusan Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Pendidikan dalam memastikan pelajar mendapat peluang yang adil dan saksama.

Jelas beliau, langkah tersebut selaras dengan Perlembagaan dan falsafah pendidikan negara.

Terdahulu, dilaporkan Presiden UMANY, Tang Yi Ze menuntut supaya program matrikulasi dimansuhkan dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dijadikan sebagai piawaian tunggal bagi kemasukan jurusan ijazah di universiti awam (UA).

Tuntutan itu dibantah banyak pihak, antaranya Naib Canselor Universiti Malaya (UM), Prof Datuk Seri Ir Dr Noor Azuan Abu Osman yang menyifatkan program matrikulasi negara adalah sistem pendidikan yang menyeluruh.

Kementerian Pendidikan sebelum ini tidak mengiktiraf UEC yang dilaksanakan di sekolah menengah persendirian Cina (SMPC).- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast