P. Ramasamy

KUALA LUMPUR – Hubungan sejarah MIC yang panjang dengan Barisan Nasional (BN) didakwa menjadikan langkah keluar daripada parti komponen it bukan sesuatu yang mudah.

Pengerusi Urimai, P. Ramasamy mendakwa, MIC juga mungkin sedang menimbang risiko tindakan balas daripada Kerajaan Madani yang menggunakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia sebagai senjata untuk menyasarkan tokoh pembangkang secara terpilih melalui siasatan berprofil tinggi yang bertujuan mencemarkan reputasi daripada menegakkan keadilan.

Sedangkan, katanya, skandal besarseperti kontroversi perlombongan di Sabah bergerak perlahan, manakala siasatan ke atas pemimpin pembangkang tanpa henti, juga tidak terkecuali, bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Hakikatnya, kata beliau, tidak ada kerajaan terdahulu yang memburu tokoh pembangkang dan media seagresif pentadbiran Kerajaan Madani yang kononnya reformis.

“Namun, jika MIC terus dinafikan penghormatan dan maruah dalam gabungan tersebut, apakah pilihan sebenar yang tinggal,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam kenyataan tersebut, Ramasamy berkata, Pemuda MIC mungkin ada alasan apabila mengatakan mereka tidak dapat menghadiri Muktamar Pas kerana notis yang terlalu singkat, memandangkan jemputan hanya diterima sehari sebelum acara.

Namun, menurut beliau, alasan tersebut kurang meyakinkan memandangkan muktamar itu berlangsung di Kedah hanya beberapa jam perjalanan dari Kuala Lumpur.

Dakwanya, mungkin MIC teragak-agak selepas ditegur oleh UMNO kerana menghadiri Perhimpunan Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebelum ini.

“Jika parti itu benar-benar mahu keluar daripada BN, maka menghadiri muktamar Pas adalah langkah yang logik terutamanya kerana MIC sudah pun menghantar wakil ke perhimpunan Bersatu.

“Harus diakui, MIC berdepan pilihan yang sukar,” ujarnya.

Oleh itu, Ramasamy berkata, pemimpin MIC mesti menunjukkan ketegasan dan keberanian kerana sikap ragu-ragu tidak akan membawa manfaat sekiranya parti itu benar-benar serius mahu menempatkan dirinya semula dalam barisan pembangkang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast