Oleh: Prof. Madya Ts. Dr. Mohd Idzat Idris
DALAM menghadapi cabaran perubahan iklim dan tekanan terhadap keperluan tenaga negara, Malaysia kini kembali mempertimbangkan tenaga nuklear sebagai salah satu pilihan strategik untuk menjamin keselamatan tenaga dan kelestarian pembangunan. Di bawah pentadbiran kerajaan pada hari ini, perbincangan mengenai pelaksanaan tenaga nuklear semakin mendapat tempat dalam wacana dasar tenaga negara. Walaupun tidak tergesa-gesa, pendekatan kerajaan jelas lebih pragmatik dan berpandangan jauh, terutamanya melalui penerokaan teknologi reaktor baru seperti Reaktor Modular Kecil (SMR) dan penglibatan dalam kerjasama strategik antarabangsa.
Malaysia bukanlah negara baharu dalam bidang teknologi nuklear. Seawal tahun 1972, negara telah menubuhkan Pusat Penyelidikan Atom Tun Ismail (PUSPATI), yang kemudiannya menjadi Agensi Nuklear Malaysia (ANM). Reaktor penyelidikan TRIGA PUSPATI, yang beroperasi sejak 1982, menjadi mercu tanda utama dalam kemajuan penyelidikan dan aplikasi nuklear di negara ini. Sejak itu, Malaysia telah mengembangkan aplikasi nuklear dalam bidang perubatan, industri, keselamatan makanan dan pendidikan. Pada Januari 2011, Malaysia telah menubuhkan Malaysia Nuclear Power Corporation (MNPC) sebagai organisasi pelaksana program tenaga nuklear (NEPIO), sesuai dengan garis panduan IAEA Milestone Approach.
Pembentukan MNPC menyokong kajian permulaan dan pembangunan infrastruktur nuklear negara. Namun, selepas pilihan raya umum pada 2018, kerajaan baharu ketika itu memutuskan untuk membatalkan rancangan loji nuklear. Memetik alasan keselamatan, isu pelupusan sisa nuklear dan ketidaktentuan kos, keputusan ini membawa kepada pembubaran MNPC pada tahun 2018. Kini, Malaysia mengambil langkah lebih berhati-hati tetapi progresif. Pada Disember 2024, Kabinet telah memberi persetujuan secara prinsip kepada tenaga nuklear sebagai sebahagian daripada pelan tenaga masa depan negara, khususnya selepas tahun 2035.
Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air telah diberi mandat untuk menjalankan kajian kebolehlaksanaan menyeluruh yang merangkumi aspek teknikal, keselamatan, keupayaan perundangan, serta tahap penerimaan awam. Antara perkembangan penting tahun 2025 ialah pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Malaysia dan Amerika Syarikat pada Julai bagi kerjasama dalam bidang tenaga nuklear sivil. MoU ini membuka laluan kepada perjanjian “123 Agreement”, yang bukan sahaja memperkukuh kedudukannya dalam laluan ke arah tenaga nuklear yang bersih dan stabil, tetapi turut memperoleh jaminan keselamatan dan kepatuhan kepada standard global.
Dalam masa yang sama, Malaysia turut memeterai perjanjian dengan agensi nuklear Rusia, Rosatom, termasuk eksplorasi teknologi loji nuklear terapung berkapasiti 100 MW dan pemindahan kepakaran dalam teknologi SMR. Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang, mengesahkan bahawa Malaysia telah menghantar delegasi teknikal ke Rusia dan Uzbekistan bagi menilai pelaksanaan SMR dan kitaran bahan api nuklear. Tenaga nuklear menawarkan pelbagai kelebihan yang signifikan. Sebagai sumber tenaga rendah karbon, ia menyumbang secara langsung kepada matlamat Malaysia untuk mencapai neutral karbon menjelang 2050.
Tambahan pula, pelan penutupan loji arang batu menjelang 2045 perlu mencari sumber tenaga alternatif baru. Berbanding tenaga boleh diperbaharui seperti solar dan angin yang tidak stabil, nuklear menyediakan bekalan beban asas yang stabil 24 jam sehari. Malah, kos operasi nuklear adalah lebih rendah dalam jangka panjang sehingga 60-80 tahun operasi dan tidak tertakluk kepada ketidaktentuan harga bahan api fosil global.
Keperluan kepada tenaga yang stabil dan berskala besar juga semakin mendesak apabila negara melangkah ke era digital. Pertumbuhan pesat pusat data, teknologi AI, dan ekonomi berasaskan maklumat memerlukan sokongan tenaga yang konsisten. Menurut beberapa laporan, permintaan tenaga pusat data di Malaysia dijangka melebihi 5 GW menjelang 2035 menjadikan ia satu keperluan yang sukar dipenuhi tanpa campur tangan tenaga seperti nuklear.
Namun, pelaksanaan tenaga nuklear khususnya di Malaysia mempunyai pelbagai cabaran. Kos permulaan bagi pembinaan loji nuklear adalah sangat tinggi, walaupun SMR menjanjikan skala dan modal yang lebih rendah. Malaysia juga masih perlu memperkukuh ekosistem perundangan dan pengawalseliaan termasuk penggubalan Akta Perlesenan Tenaga Atom serta dicadangkan untuk menubuhkan badan kawal selia yang bebas.
Dari sudut sumber manusia, negara memerlukan lebih ramai jurutera, saintis, pakar keselamatan dan pengawal selia yang terlatih. Selain itu, keperluan kepada tenaga profesional dalam bidang kejuruteraan awam, geoteknik, dan hidraulik juga amat penting bagi menilai kesesuaian tapak dan mereka bentuk struktur loji yang menepati piawaian keselamatan antarabangsa.
Pakar dalam pengurusan pembinaan, sistem berasaskan keselamatan, integriti struktur, serta sistem sokongan kecemasan turut diperlukan dalam setiap fasa reka bentuk dan pelaksanaan projek. Tambahan pula, Malaysia memerlukan kumpulan kerja yang mahir dalam perlesenan, perundangan teknikal, komunikasi risiko, perancangan pengangkutan bahan radioaktif, serta pengurusan sisa nuklear, bagi menjamin pelaksanaan projek yang holistik dan bersepadu.
Tenaga kerja ini tidak hanya tertumpu kepada sektor tenaga, tetapi merentasi bidang teknikal, perundangan, logistik, pendidikan dan pengurusan risiko yang saling menyokong kejayaan sesebuah program nuklear negara. Isu yang paling penting mungkin berkaitan dengan penerimaan orang awam.
Persepsi masyarakat terhadap tenaga nuklear masih dipengaruhi oleh kebimbangan terhadap senjata nuklear, kemalangan nuklear dan isu pelupusan sisa radioaktif. Oleh itu, program kesedaran, pendidikan, dan komunikasi strategik perlu dijadikan keutamaan sebelum sebarang loji nuklear dibangunkan.
Kerjasama antarabangsa menjadi tunjang utama dalam strategi pembangunan nuklear di Malaysia. Hubungan erat dengan International Atomic Energy Agency (IAEA) membantu negara menilai kesediaan infrastruktur nuklear serta mencadangkan beberapa penambahbaikan terhadap sistem kawalan kualiti dan kesiapsiagaan kecemasan.
Jelas bahawa Malaysia kini berdiri di ambang transformasi tenaga yang besar. Keputusan untuk melaksanakan tenaga nuklear tidak boleh dibuat secara tergesa-gesa, tetapi ia juga tidak boleh dibiarkan terlalu lama sehingga negara terlepas peluang strategik. Tenaga nuklear bukan pengganti kepada tenaga boleh diperbaharui, tetapi pelengkap kepada sistem tenaga masa depan yang selamat, bersih, dan mampan. Jika segala aspek teknikal, undang-undang dan sosial dapat disusun dengan teliti dan kerajaan terus komited dalam memastikan ketelusan dan akauntabiliti, maka Malaysia berpotensi besar menjadi antara negara serantau pertama yang berjaya mengadaptasi tenaga nuklear secara progresif dan selamat.
Penulis adalah Pensyarah Kanan Sains Nuklear, Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia
















