ALOR SETAR – Semua pimpinan Parti Islam SeMalaysia (Pas) diingatkan tidak menyerang kepimpinan pusat hanya kerana sesuatu kawasan parti itu tidak diberikan kerusi untuk bertanding dalam pilihan raya seperti sebelum ini.
Timbalan Presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, apabila Pas Pusat membuat keputusan mengenai pembahagian kerusi, ia perlu mengambil kira soal kemenangan mengikut kawasan dan calon bersama rakan muafakat politik.
“Fokus senjata pada musuh, bukan pada rakan sendiri dan jangan paksa jemaah terima pandangan-pandangan peribadi kerana pandangan itu dinilai dibuat dianalisa.
“Sahabat-sahabat pimpinan di peringkat kawasan mungkin nampak kawasan kita, namun pimpinan negeri buat keputusan, kena lihat seluruh negeri.
“Manakala pimpinan di peringkat pusat dalam buat keputusan, kita terpaksa lihat satu negara, dalam soal agihan kerusi pilihan raya,” katanya berucap ketika penggulungan ucapan dasar Presiden Pas dalam Muktamar Tahunan Pas Pusat ke-71, di sini, hari ini.
Tuan Ibrahim berkata, ada kalanya Pas pusat perlu membuat keputusan secara silang negeri seperti Pahang dan Kelantan sebelum ini.
“Pengalaman kita di peringkat pusat, kita pernah tukar Dewan Undangan Negeri (DUN) kita di Kelantan dengan DUN di Pahang.
“Pahang dapat pada rakan parti kita, Kelantan dapat pada rakan muafakat politik kita, bila kita analisa kekuatan calon, kita lebih potensi menang kalau kita dapat di Kelantan.
“Kita bincang di peringkat jawatankuasa, kita tukar, Pas kita ambil di Kelantan, kerana potensi calon kita kuat untuk menang, kita tukar dengan Pahang,” katanya.
Malangnya kata Tuan Ibrahim, ada pimpinan negeri bukan sahaja tidak walak bahkan melakukan protes hingga bertindak meninggalkan Pas.
“Memanglah di Kelantan kita menang, Pahang mengamuk, tak puas hati, tak setuju, hantar calon bebas, sekarang apa berlaku, keluar daripada parti.
“Urusan politik sebahagiannya ijtihad, kalau urusan dan qot’i tiada masalah, oleh kerana politik sebahagian besar ia ialah perkara ijtihad pimpinan, maka walak sangat penting dalam mematuhi arahan parti.
“Pimpinan mungkin ada pandangan-pandangan dia nampak mungkin kita tak nampak, apa penting, patuh, taat, walak pada keputusan, Insya-Allah jemaah akan dipelihara diberkati Allah,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















