Mohd Suhaimi Abdul Aziz

ALOR SETAR – Kontroversi Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) perlu dijadikan bom jangka oleh Pas untuk `diletupkan’ pada kempen Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16).

Perwakilan Pas Titiwangsa, Mohd Suhaimi Abdul Aziz berkata, RUU itu bukan hanya mengancam orang Melayu, malah kaum-kaum lain termasuk masyarakat Cina dan India yang tinggal di bandar.

Sehubungan itu, jelasnya, RUU berkenaan tidak wajar dilihat dari sudut perkauman, sebaliknya satu dasar yang digubal secara tidak telus dan dalam keadaan tergesa-gesa oleh kerajaan.

“Dalam senarai saya di Wilayah Persekutuan, terdapat lebih 90 kawasan yang akan dimajukan melibatkan populasi orang Melayu, Cina dan India.

“Isunya bukan soal perkauman, soal politik atau soal menolak pembangunan, tetapi isunya bagaimana hak milik penduduk itu dianaktirikan dan dinafikan masa depan mereka.

“Isunya bagaimana kuasa penuh diberikan kepada kerajaan untuk melaksanakan rancangan tanpa persetujuan keseluruhan penduduk,” katanya ketika mencadangkan usul berkaitan RUU PSB pada Muktamar Pas Pusat kali ke-71 di Markas Pas Kedah, di sini hari ini.

Isu RUU PSB di bawah usul sosial yang disokong oleh perwakilan Pas Tangga Batu, Bakri Jamaluddin dan dibahaskan perwakilan Pas Wilayah Persekutuan, Azmer Syazwan Ahmad Suparmin itu kemudiannya diluluskan sebulat suara oleh Muktamar Pas Pusat kali ini.

Dalam pada itu, Mohd Suhaimi turut melahirkan rasa kecewa kerana menyifatkan Mutamar Pas Pusat kali ini tidak begitu membangkitkan berkenaan isu penolakan RUU PSB apabila hanya disentuh oleh perwakilan Wilayah Persekutuan dan Pulau Pinang.

Sedangkan, ujar beliau, di peringkat Pusat termasuk di Parlimen, wakil-wakil rakyat begitu lantang dan tegas dalam menolak pelaksanaan RUU terbabit.

“Mungkin di negeri lain tidak terasa, tetapi di Wilayah Persekutuan khususnya Kuala Lumpur, berapa ramai golongan terpinggir yang akhirnya dinafikan kerana tidak mampu membeli rumah yang pada asalnya mereka miliki,” katanya.

Sementara itu, beliau turut mengingatkan apa yang berlaku dalam insiden di Kg Sungai Baru dan di Kg Baru ketika ini adalah gambaran awal daripada pelaksanaan RUU PSB.

Dalam masa sama, beliau turut mengajak seluruh perwakilan Pas menyatakan solidariti terhadap Yang Dipertua Pas Kawasan Sungai Buloh, Zaharuddin Muhammad yang ditahan polis awal pagi kelmarin berkait ucapan beliau dalam mempertahankan Kg Sungai Baru. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast