ALOR SETAR – Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari meraih undi tertinggi dalam pemilihan Jawatankuasa Kerja Pas Pusat sesi 2025-2027 selepas meraih sebanyak 1,096 undi.
Ia diikuti Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang mendapat 1,062 undi serta Exco Kedah, Dr. Haim Hilman Abdullah (1,028 undi).
Sementara itu, pemilihan tersebut turut menyaksikan Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim turut terpilih selepas mendapat 717 undi.
Selain itu, beberapa nama besar dalam Pas yang turut terpilih sebagai AJK Pas Pusat bagi sesi akan datang termasuk Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz yang mendapat 713 undi; Ahli Parlimen Rantau Panjang, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (865) dan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud (897).
Sementara itu, keputusan pemilihan kali ini turut menyaksikan beberapa pemimpin Pas tidak terpilih antaranya Menteri Besar Perlis, Mohd Sukri Ramli; Ahli Parlimen Kuala Kedah; Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi dan Ahli Parlimen Kuala Langat, Dr Ahmad Yunus Hairi.
Turut tidak terpilih ialah, Ahli Parlimen Tangga Batu, Bakri Jamaluddin dan Ahli Parlimen Parit Buntar, Misbahul Munir Masduki.
Terdahulu, keputusan itu diumumkan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat Pas, Wan Rohimi Wan Daud selepas sesi pemilihan berlangsung secara online semalam.
Menurut beliau, seramai 30 calon bertanding bagi merebut 18 tempat dalam AJK Pas Pusat dengan seramai 1,220 perwakilan mengambil bahagian iaitu kira-kira 90 peratus daripada 1,351 perwakilan yang layak mengundi.
Terdahulu, lima jawatan utama Pas iaitu Presiden; Timbalan Presiden dan tiga Naib Presiden dimenangi tanpa bertanding.
Berikut adalah keputusan pemilihan AJK Pas Pusat bagi sesi 2023-2025:
- Ahmad Fadhli Shaari (1,096)
- Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor (1,062)
- Haim Hilman Abdullah (1,028)
- Muhammad Khalil Abdul Hadi (1,018)
- Ir Khairil Nizam Khirudin (920)
- Datuk Mohd Nassuruddin Daud (897)
- Datuk Dr. Azman Ibrahim (868)
- Dr Halimah Ali- (866)
- Datuk Siti Zailah Mohamad Yusof (865)
- Datuk Dr. Ahmad Marzuk Shaari (854)
- Ahmad Amzad Hashim (802)
- Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan (731)
- Riduan Mohamad Nor (721)
- Datuk Seri Shahidan Kassim (717)
- Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz (713)
- Datuk Awang Hashim (688)
- Datuk Mumtaz Md Nawi (682)
- Datuk Iskandar Abdul Samad (680) – MalaysiaGazette
















