SEBERANG PERAI – Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) sedang mengadakan rundingan dengan Kerajaan Negeri Pulau Pinang serta Railway Asset Corporation (RAC) agar mempertimbangkan lanjutan tempoh pajakan tanah yang menempatkan kilang penapisan gula MSM Malaysia Holdings Berhad (MSM) di Perai, di sini.
Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, rundingan itu penting memandangkan tempoh pajakan sedia ada berbaki kira-kira lima tahun.
Ahmad Shabery menegaskan, sebarang kemungkinan penutupan kilang tersebut akan memberi kesan besar bukan sahaja kepada pekerja malah kepada rantaian bekalan industri makanan yang bergantung kepada pengeluaran gula.
“Kalau boleh, biarlah tempoh lanjutan sampai 30 tahun kerana ia memberi ruang secukupnya untuk MSM membuat perancangan jangka panjang termasuk mencari lokasi penempatan semula.
“Sebarang penutupan akan memberi kesan besar kepada bekalan gula negara kerana kemudahan di sini cukup strategik.

“Kita tidak mahu isu pajakan ini menjejaskan kelangsungan operasi kilang kerana ia akan memberi implikasi yang besar kepada industri dan pengguna,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke kilang MSM, di sini, hari ini.
Terdahulu, Ahmad Shabery merasmikan pelancaran Gula Prai edisi khas Felda.
Tambah beliau, pihaknya menghargai hasrat kerajaan negeri untuk menjadikan lokasi kilang gula atas kepentingan-kepentingan pembangunan lain.
“Bagaimanapun, kita juga yakin kerajaan negeri memahami kepentingan ekonomi kilang MSM Perai yang sudah beroperasi sejak beberapa dekad lalu, malah menyumbang besar untuk keterjaminan makanan negara.
“Jadi apa yang boleh saya rumuskan perbincangan masih berjalan dan kita harap satu keputusan positif dapat dicapai dalam masa terdekat demi memastikan kesinambungan operasi MSM,” katanya.
Mengulas lanjut Ahmad Shabery berkata, pihaknya memerlukan lanjutan tempoh pajakan tanah itu bagi membolehkan perancangan rapi termasuk penempatan semula kilang dapat dibuat.
“Kos fasiliti (penempatan semula) di lokasi baru memerlukan kira-kira RM4 billion manakala jika operasi diperlukan di Johor pula kita perlukan sekurang-kurangnya RM1 billion untuk menaiktaraf fasiliti di sana agar dapat menampung keperluan yang mencukupi.
“Selain itu, untuk berpindah ke lokasi lain juga kita perlu memirikan dari segi soal logistik kerana operasi (gula) kaedahnya sama seperti sawit yang mana kalau nak eksport mesti ada tempat menyimpan dan mesti dekat dengan dengan pelabuhan serta lebih efisyen,” katanya. – MalaysiaGazette















