KUALA LUMPUR – Aktivis, Rafidah Ibrahim diminta hadir ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 29 September ini berhubung kes saman fitnah terhadap bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad.

Peguam mewakil Khalid, Zulhazmi Sharif berkata, pihaknya telah menghantar saman dan notis pemakluman kehadiran ke mahkamah kepada Rafidah melalui beberapa kaedah sebelum ini, namun dia enggan menerima secara telus.

“Kita sudah mendapat perintah untuk menyampaikan serahan ganti termasuk melalui siaran akhbar, tampalan notis di mahkamah dan di alamat kediamannya.

“Kemudian mahkamah menetapkan 29 September ini untuk pengurusan kes seterusnya, namun sehingga kini dia masih gagal menfailkan kehadiran.

“Sebab kita nak tahu cerita hero ini, kalau mahu jadi hero di luar  minta jadi hero di mahkamah juga untuk kita dengar apa penjelasan dia, tapi malangnya 12 September lalu dia perlu hadir tetapi tidak,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Oleh itu, menurut Zulhazmi, pihaknya akan menfailkan perakuan ketidakhadiran dan memohon penghakiman ingkar selain menentukan tarikh tafsiran bagi ganti rugi.

Peguam, Zulhazmi Shariff bercakap pada sidang media mengenai pengambilan tanah Kampung Sungai Baru, di Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 17 SEPTEMBER 2025

Selain itu, Zulhazmi meminta Rafidah tampil di mahkamah bagi menjelaskan dakwaan yang dibuatnya berbanding membuat kenyataan tidak jelas di platform media sosial.

Sementara itu, Khalid yang juga Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah) berkata, beliau tidak berasa kesal dengan tindakan saman terhadap Rafidah kerana wanita itu didakwa telah mengelirukan banyak pihak dan melakukan tuduhan tidak berasas terhadap dirinya.

“Saya sudah saman Rafidah sebelum ini kerana dalam keghairahan dia ingin tunjuk hero, ditambah pelakon dan bagi saya macam ‘content creator’ untuk diceritakan bagi menjadi sensasi.

“Dia mendakwa Khalid Samad nak hapuskan tanah rizab melayu Kampung Baru, sedangkan kalau kita bangunkan kawasan itu mengikut cara ingin dilakukan iaitu menambah lagi geran petak 10 kali ganda daripada 500 geran akan hasil 5,000 geran.

“Tapi dia (Rafidah) telah keliru dan mengelirukan semua pihak. Jadi saya tidak ada rasa apa-apa kekesalan (saman) dia kerana membuat tuduhan melulu serta ingin memanaskan suasana yang tiada kena mengena dengan dia,” katanya.

Sebelum ini, Khalid menyaman Rafidah atas dakwaan fitnah berhubung pemansuhan tanah rizab Melayu, tetapi usaha menyerahkan dokumen itu gagal kerana individu tersebut tidak dapat dikesan.

Khalid berkata, saman tersebut dibuat susulan dakwaan Rafidah menuduh beliau berhasrat memansuhkan Lembaga Pentadbiran Malay Agricultural Settlement (MAS) serta tanah rizab Melayu di Kampung Baru dan Kampung Sungai Baru sebelum ini.

Tambah beliau, tindakan undang-undang perlu melalui proses penyerahan secara bersemuka, dan Khalid menyeru Rafidah agar tampil menerima saman serta tidak menghilangkan diri. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast